Diterbitkan pada 20 April 2026, 09:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Kelab Keluarga Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (KKKPKNP) menggalakkan penyertaan aktif dalam sukan dalaman, khususnya dalam kalangan ahlinya sebagai alternatif sihat berikutan cuaca panas berpanjangan yang melanda beberapa negeri di negara ini.

Antara ahli KKKPKNP yang menyertai Kejohanan Karom Tertutup KKKPKNP 2026.

Presidennya, Encik Rahmat Hussin berkata, Kejohanan Karom Tertutup KKKPKNP 2026 yang berlangsung di Dewan Seminar EDC, Kompleks Teruntum dianjurkan bagi membuka peluang kepada lebih banyak ahli KKKPKNP menyertai aktiviti sukan dalaman yang tidak memerlukan penggunaan tenaga maksimum, sebaliknya menuntut kecerdasan berfikir dan strategi.

Encik Rahmat Hussin selaku Presiden KKKPKNP ketika menyampaikan ucapan ringkas sebelum berlangsungnya Kejohanan Karom Tertutup KKKPKNP 2026.

Beliau turut menegaskan bahawa penganjuran kejohanan seumpama ini mampu menyemarakkan semangat kesukanan, mengeratkan silaturahim serta mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan peserta.

Sementara itu, Ketua Biro Sukan KKKPKNP, Encik Hairil Izzat Abd Razak memaklumkan bahawa kejohanan tersebut turut menjadi platform persediaan dalam pemilihan atlet karom yang akan mewakili organisasi ke temasya sukan antara agensi Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri pada Julai 2026.

Menurut beliau, kejohanan itu juga memberikan pendedahan dan pengalaman suasana sebenar pertandingan kepada atlet sebagai persiapan untuk menghadapi Sukan Gabungan Agensi-agensi Amanah Bumiputera dan Perusahaan-perusahaan Awam Malaysia (GEMAPUTERA) 2026 yang dijadualkan berlangsung di Sarawak.

Bagi kategori lelaki, johan dimenangi oleh Encik Nik Mohd Khasyimi Nik Kamarulzaman, diikuti oleh Encik Mohammad Nur Salam Mohd Nazri sebagai naib johan dan Encik Mohd Rozaimie Mohamad @ Abdul Rahman memperoleh tempat ketiga.

Johan Kejohanan Karom Tertutup KKKPKNP 2026 bagi kategori lelaki dimenangi oleh Encik Nik Mohd Khasyimi Nik Kamarulzaman.

Kategori wanita pula menyaksikan Puan Roos Liza Mat Rameli muncul sebagai johan, Puan Faridah Mohamed Sidek mendapat naib johan dan tempat ketiga menjadi milik Puan Nur Afiqah Yusof.

Puan Roos Liza Mat Rameli menjuarai Kejohanan Karom Tertutup KKKPKNP 2026 bagi kategori wanita.

Turut hadir ialah Encik Issma Rohaizad Abdul Wahab selaku Naib Presiden 1 KKKPKNP bersama-sama ahli KKKPKNP.

Kredit Foto: Muhammad Amjad Mohamad Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi