Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kini berpeluang mengikuti program Sijil Profesional (SP) Institut Informatik Visual (IVI) yang ditawarkan secara percuma oleh syarikat pemula, AEye Insight Sdn. Bhd.
Pengarah AEye Insight Sdn. Bhd., YBrs. Profesor Madya Dr. Rabiah Abdul Kadir berkata program sijil profesional, iaitu DATA Excellence Series UKM (DEX-Pro IVI-UKM) menerima tajaan daripada Karim Engineering Sdn. Bhd. (KESB) berjumlah RM150,000.
Ujarnya,
Penajaan ini sangat bermakna kerana pelajar UKM berpeluang meningkatkan kemahiran dan kompetensi dalam bidang data excellence serta teknologi digital berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang kian menjadi keperluan penting dalam landskap industri masa kini.
Tambahnya,
Sokongan daripada pihak industri seperti ini bukan sahaja membantu memperkasakan pembangunan bakat muda, malah turut memperkukuhkan hubungan strategik antara universiti dengan industri.
Pelaksanaan program itu akan dijalankan sepenuhnya secara dalam talian bagi memastikan akses pembelajaran yang lebih fleksibel dan inklusif kepada peserta selaras dengan perkembangan semasa dalam pendidikan digital serta pembelajaran sepanjang hayat.
Beliau menambah, program berkenaan akan dikendalikan dengan kerjasama felo penyelidik IVI yang bertindak sebagai pembina modul.
Katanya,
Inisiatif ini dilihat mampu memperkasa kemahiran pelajar dalam bidang analitik data serta meningkatkan kebolehpasaran graduan selaras dengan keperluan industri semasa.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KESB, YBhg. Dato’ Abdullah Abd Karim berkata sokongan terhadap program ini menjadi jambatan antara universiti dengan industri.
Jelasnya,
Yang lebih membanggakan peluang ini turut membuka peluang kerjasama dengan institusi bertaraf dunia seperti MIT serta menggunakan teknologi pembelajaran digital terkini termasuk AI video melalui platform Synthesia.
Selain itu, beliau berkata program tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen syarikat dalam melaksanakan tanggungjawab sosial. Peserta juga akan menerima digital credential dan digital bagde yang diiktiraf antarabangsa melalui Credly dengan sokongan Pearson.
Jelasnya,
Kami percaya bahawa pelaburan terbaik tidak terletak pada bangunan atau mesin tetapi pada pembangunan manusia.