Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuching – Sarawak dan Perancis meneroka peluang kerjasama dalam pelbagai bidang strategik termasuklah pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET), minyak dan gas serta pembangunan teknologi tenaga bersih.
Perkara tersebut dibincangkan semasa kunjungan hormat Duta Besar Perancis ke Malaysia, Marc Abensour bersama-sama delegasinya kepada Premier Sarawak, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg di Kompleks Satria Ibu Pertiwi, Kuching.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak memberikan tumpuan kepada usaha mempererat hubungan dalam sektor strategik yang berpotensi memberikan manfaat kepada Sarawak dan Perancis.
Antara perkara yang dibincangkan termasuklah kerjasama dalam bidang TVET bagi melahirkan lebih banyak tenaga kerja mahir di Sarawak, selain peluang kerjasama dalam industri marin dan penerbangan.
Kedua-dua pihak turut meneliti potensi kerjasama dalam sektor minyak dan gas yang merangkumi aktiviti dari peringkat huluan hingga hiliran, di samping pembangunan teknologi tenaga bersih, khususnya teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon.
Sarawak kini dilihat semakin agresif menarik pelabur luar negara berikutan sumber tenaga boleh diperbaharui yang melimpah, infrastruktur industri yang kukuh serta kestabilan politik negeri yang memberikan keyakinan kepada pelabur.
Kerjasama yang dibincangkan itu juga selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 Sarawak yang menekankan pertumbuhan ekonomi mampan, pembangunan tenaga boleh diperbaharui serta pengembangan ekonomi digital.
Delegasi Perancis yang hadir turut disertai oleh Timbalan Kaunselor Ekonomi Bouthaina Harfi, Fenny Nuli serta Kaunselor Kerjasama dan Hal Ehwal Kebudayaan Kedutaan Perancis di Malaysia, Thierry d’Anna.
Lawatan Marc Abensour ke Sarawak selama dua hari itu merupakan kunjungan pertama beliau sejak memulakan tugas sebagai Duta Besar Perancis ke Malaysia di Kuala Lumpur pada Januari 2026.
Lawatan tersebut dilihat sebagai langkah awal yang positif dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Sarawak dengan Perancis ke arah kerjasama yang lebih erat pada masa hadapan.