Diterbitkan pada 6 Mac 2026, 17:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Fenomena bunga pokok tekoma yang mekar lebat sejak kebelakangan ini kembali mencuri perhatian masyarakat apabila deretan pokok tersebut dihiasi bunga berwarna merah jambu yang memukau, sekali gus mewujudkan suasana seakan-akan musim bunga sakura.

Pokok yang sering digelar sebagai “sakura Malaysia” ini sebenarnya dikenali dengan nama saintifik Tabebuia rosea atau Rosy Trumpet Tree dan berasal dari benua Amerika yang beriklim tropika, namun kini banyak ditanam di negara ini sebagai pokok landskap kerana keindahan bunganya serta keupayaannya menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca tempatan.

Pensyarah Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), YBrs. Puan Nur Illani Abdul Razak menjelaskan bahawa pokok tekoma menjadi antara spesies pilihan dalam perancangan landskap bandar kerana nilai estetik yang tinggi serta ciri pertumbuhannya yang sesuai dengan iklim Malaysia.

Menurut beliau yang berkepakaran dalam bidang reka bentuk landskap dan etnobotani, pokok tekoma mampu menghasilkan bunga yang mekar secara serentak sehingga hampir menutupi keseluruhan kanopi pokok.

Katanya,

Apabila tiba musim berbunga, bunga berwarna merah jambu akan memenuhi keseluruhan pokok dan menghasilkan pemandangan yang sangat menarik. Keindahan inilah yang menyebabkan pokok ini sering digelar sebagai ‘sakura Malaysia’.

Selain faktor estetika, pokok ini turut mempunyai beberapa kelebihan dari sudut hortikultur yang menjadikannya sesuai digunakan dalam pembangunan landskap di kawasan bandar dan taman rekreasi termasuklah kadar pertumbuhan yang cepat, keupayaan menahan cuaca panas, kurang diserang penyakit serta tidak memerlukan penyiraman yang banyak selepas mencapai tahap matang. Keadaan ini secara tidak langsung membantu mengurangkan kos penyelenggaraan landskap.

Tambah beliau lagi, pokok tekoma juga mudah dipangkas dan dibentuk mengikut keperluan reka bentuk landskap, sekali gus memudahkan pengurus landskap mengekalkan struktur pokok yang kemas dan menarik.

Dari sudut biologi tumbuhan, fenomena pembungaan pokok tekoma sebenarnya berkait rapat dengan faktor persekitaran, khususnya perubahan cuaca dan tekanan semula jadi yang dialami oleh pokok tersebut.

Beliau menjelaskan bahawa pokok tekoma lazimnya akan berbunga lebat selepas melalui tempoh cuaca panas dan kering atau apabila mengalami kekurangan air.

Jelasnya,

Apabila pokok berada dalam keadaan tekanan seperti kekurangan air, pokok ini akan menghasilkan bunga sebagai satu mekanisme survival bagi memastikan kesinambungan spesies melalui proses pembiakan.

Tekanan persekitaran seperti suhu yang terlalu panas, taburan hujan yang tidak menentu serta perubahan pola antara musim kering dan basah boleh merangsang pokok tekoma untuk berbunga secara serentak.

Bunga tekoma (Tabebuia rosea) yang mekar serentak menghasilkan pemandangan indah sehingga digelar sebagai “sakura Malaysia”.

Fenomena inilah yang menyebabkan deretan pokok tekoma di sesuatu kawasan boleh berbunga pada masa yang hampir sama, sekali gus menghasilkan pemandangan landskap yang memukau.

Selain memperindah landskap, pokok ini berfungsi sebagai pokok teduhan yang membantu mengurangkan kesan haba di kawasan bandar.

Pada masa yang sama, kewujudan pokok landskap seperti tekoma turut menyumbang kepada peningkatan kualiti udara serta menyediakan ruang hijau yang penting untuk kesejahteraan mental masyarakat.

Tambahnya,

Persekitaran bandar yang mempunyai landskap hijau yang indah dapat memberikan suasana yang lebih tenang dan menyenangkan kepada penduduk.

Fenomena bunga tekoma yang gugur dan membentuk hamparan merah jambu di permukaan tanah juga sering menarik perhatian orang ramai untuk merakam gambar, sekali gus menjadikan musim berbunga pokok ini sebagai tarikan bermusim yang dinanti-nantikan.

Keindahan pokok tekoma jelas membuktikan bahawa elemen landskap bukan sekadar menghiasi ruang bandar, malah turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti persekitaran dan kesejahteraan masyarakat.

Kredit Foto: Nur Illani Abdul Razak
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi