Diterbitkan pada 18 Mei 2026, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kerang sering dilihat sebagai penapis hidup yang tekun bekerja di dasar muara; injapnya terbuka dan tertutup dalam ritma halus, menapis air dan menukarkan zarah halus menjadi nutrisi. Namun demikian, di sebalik rutin yang damai ini, tersembunyi drama besar, iaitu pencemaran sungai yang senyap tetapi mematikan. Dalam artikel ini, biologi kerang dan habitatnya diselami dengan mengaitkan peranannya terhadap keselamatan makanan negara, meninjau pengeluaran kerang di Malaysia, khususnya di Selangor, lalu menelusuri kesan bahan cemar yang mengalir dari hulu ke hilir, meresap ke dalam tisu kerang, dan akhirnya menjejaskan kesihatan manusia serta ekonomi pesisir. Sebagai langkah kawalan, pendekatan struktur dan bukan struktur yang praktikal dalam konteks Malaysia, dengan sentuhan penyelesaian berasaskan alami turut dicadangkan.

Spesies Kerang, Habitat dan Sumber Makanan

Di perairan muara Malaysia, spesies seperti Anadara granosa (kerang darah/kerang bulu) dan Anadara nodifera lazimnya mendiami sedimen berlumpur yang kaya bahan organik, bersaliniti rendah hingga sederhana serta mempunyai bekalan oksigen yang mencukupi. Spesies ini ialah pemakan menapis (filter feeder) yang menelan fitoplankton, detritus organik dan mikroalga terampai. Setiap kitaran penapisan mengurangkan pepejal terampai dan kekeruhan, lalu menstabilkan ekosistem setempat. Untuk kekal sihat, kerang memerlukan air yang berkualiti, oksigen terlarut yang memadai, suhu yang stabil, saliniti yang sesuai serta beban sedimen yang tidak berlebihan dan dasar bebas daripada logam berat atau bahan organik persisten. Dalam keadaan tersebut, kerang bukan sahaja tumbuh subur, malah berperanan sebagai jurutera ekologi kecil yang memperbaik kejernihan air dan menjadi makanan berkhasiat kepada manusia.

Kerang pemakan menapis (filter-feeder) menelan fitoplankton, detritus organik dan mikroalga terampai.

Kerang dan Keselamatan Makanan Negara

Sebagai sumber protein marin yang mampu milik, kerang menyokong rantaian bekalan domestik daripada nelayan pesisir, penternak hingga peniaga kecil. Dalam landskap agromakanan Malaysia, komoditi ini membantu kepelbagaian sumber, memperkaya ketersediaan dan kebolehcapaian makanan serta selari dengan aspirasi Dasar Agromakanan Negara dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan. Kecekapan biologi kerang yang mampu menukar bahan organik terampai kepada biomas bernilai tinggi juga bermakna jejak karbonnya relatif rendah berbanding dengan sesetengah protein darat. Namun begitu, semua manfaat ini bertaut pada satu syarat rapuh, iaitu sungai dan muara perlu kekal bersih.

Pengeluaran Kerang di Malaysia

Malaysia memiliki rangkaian muara yang luas, dengan Selangor, Perak dan Johor muncul sebagai wilayah penting bagi pendaratan dan ternakan kerang. Selangor, khususnya dimanfaatkan oleh sistem teluk dan muara dengan dinamik pasang surut serta aliran yang menyokong pertumbuhan kerang. Pada masa yang sama, disebabkan aktiviti ekonomi yang pesat, Selangor terdedah kepada pelepasan sisa perindustrian, pertanian dan perbandaran di hulu, menjadikan kualiti air sebagai faktor penentu hasil kerang di sungai. Terdapat bukti penyusutan hasil kerang dicatatkan daripada penerbitan Jabatan Perikanan dan penerbitan ilmiah sebelum ini. Keadaan ini memberikan isyarat bahawa pengurusan efluen di lembangan sungai amat kritikal untuk menstabilkan pengeluaran. Rujukan lapangan dan laporan teknikal menekankan keperluan pemantauan amonia, pepejal terampai serta parameter kualiti air lain secara berterusan untuk melindungi pengeluaran tempatan.

Sungai yang Menyempitkan Nafas

Dari hulu, pelbagai punca menyuntik tekanan ke dalam sistem sungai termasuklah efluen industri dan air sisa tapak pelupusan yang tidak atau kurang dirawat yang membawa logam berat serta bahan kimia toksik; air larian permukaan pertanian menumpahkan nutrien nitrogen dan fosforus bersama-sama racun perosak; kumbahan domestik memperkenalkan patogen; aktiviti perlombongan dan pembukaan tanah meningkatkan sedimen terampai, manakala efluen akuakultur darat menambah beban organik. Apabila terlalu banyak nutrien masuk ke sungai, alga membiak dengan cepatnya dan fenomena ini dipanggil eutrofikasi. Apabila alga itu mati dan mereput, proses pereputan menggunakan banyak oksigen terlarut sehingga air menjadi kekurangan oksigen atau hipoksia. Pada masa yang sama, sungai menjadi lebih keruh, manakala tahap keasidan (pH) dan keseimbangan tindak balas kimia dalam air (redoks) turut berubah. Ringkasnya, air menjadi “sakit”, lalu hidupan seperti kerang sukar bernafas, membesar dan akhirnya mati. Aliran sungai kemudiannya menghantar bahan cemar ke muara, iaitu pasang surut dan arus pesisir dikitar semula. Sedimen bertindak seperti bank memori yang menyimpan dan melepaskan semula pencemar apabila diganggu atau apabila pH serta redoks berubah.

Kesan Bahan Cemar kepada Kerang

Kerang terdedah melalui dua pintu, iaitu air yang ditapis dan sedimen yang diterokai untuk makanan. Logam berat seperti kadmium, plumbum dan merkuri, hidrokarbon aromatik polisiklik, mikroplastik, nutrien berlebihan malah patogen, semuanya boleh terkumpul di dalam tisu kerang. Pada peringkat fisiologi, bahan toksik ini memicu tekanan oksidatif, merosakkan insang, mengganggu metabolisme tenaga, menekan sistem imun dan menjejaskan pembiakan sehingga akhirnya kualiti merosot dan menyebabkan kadar pembiakan menurun. Apabila oksigen terlarut berkurangan sementara kepekatan bahan toksik meningkat, kerang akan memperlahankan kadar penapisan, mengurangkan pengambilan makanan, lalu menyebabkan pertumbuhannya terbantut. Benih kerang merupakan peringkat yang paling rapuh. Pendedahan kepada amonia, sulfida atau perubahan saliniti yang mendadak boleh meningkatkan kadar kematian dengan ketara. Di kebun kerang seperti di Sungai Buloh dan Jeram, kajian mendapati bahawa terdapat korelasi antara paras amonia yang tinggi dengan penurunan hasil tuaian, selari dengan penemuan bahawa Anadara granosa mempunyai toleransi amonia yang rendah dan mudah terjejas dalam keadaan suhu air yang tinggi.

Implikasi bahan cemar terhadap kerang.

Langkah Kawalan Secara Berstruktur dan Bukan Berstruktur

Memulihkan sungai bermula daripada punca pencemarannya. Dari segi berstruktur, semua kilang di sepanjang sungai wajib mengawal kualiti air sisa dengan menggunakan teknologi paling berkesan sebelum pelepasan termasuklah sistem koagulasi-flokulasi yang mantap, membran seperti penapis ultra, biofilem termaju, penyerapan arang teraktif serta rawatan pengoksidaan lanjutan untuk sebatian persisten. Dalam sektor pertanian dan ladang kelapa sawit, air larian permukaan perlu ditakung dan dirawat melalui kolam rawatan berperingkat yang merangkumi proses sedimentasi, biofiltrasi dan pembinaan tanah lembap (wetland) buatan. Pada masa yang sama, penggunaan baja perlu dijadualkan berdasarkan keadaan cuaca dan keperluan tanah, di samping mewujudkan zon penampan riparian yang bervegetasi untuk mengurangkan aliran nutrien dan sedimen ke dalam sungai. Aktiviti akuakultur darat juga perlu merawat air kolam dari punca melalui sistem peredaran semula, biofilter nitrifikasi–denitrifikasi, kawalan pepejal terampai serta rawatan UV atau ozon sebelum dilepaskan ke persekitaran. Di sepanjang lembangan, rangkaian penderia masa nyata bagi mengukur oksigen terlarut (DO), pH, kekeruhan, ammonium dan konduktiviti wajar dipasang sebagai sistem amaran awal bagi memantau kualiti air secara berterusan.

Dari sudut bukan berstruktur, pematuhan dan audit bebas perlu diperkukuh melalui standard efluen berasaskan risiko, penalti progresif serta penguatkuasaan yang telus. Amalan Pertanian Baik dan pensijilan seperti MSPO perlu diwajibkan kepada semua pengusaha, lengkap dengan latihan pekerja, rekod penggunaan input serta pemantauan kualiti air secara sistematik. Pada masa yang sama, perancangan berasaskan lembangan perlu untuk mengawal guna tanah, melindungi zon riparian dan mengehadkan pembangunan di kawasan sensitif. Pendekatan ini wajar disinergikan dengan pendidikan komuniti, papan pemuka data awam serta program gotong-royong. Pengusaha industri juga perlu diwajibkan menyertai program kesedaran dan pendidikan berkaitan dengan kesan pencemaran, selain melaksanakan inisiatif kawalan pencemaran. Kesemua elemen ini wajar dijadikan syarat penting dalam proses pembaharuan atau permohonan lesen perniagaan.

Penyelesaian Berasaskan Alam dan Biologi

Penanaman rumpai laut di muara terpilih berupaya menyerap lebihan nutrien, meningkatkan oksigen, menstabilkan mikrohabitat dan mengurangkan karbon terlarut. Kaedah kawalan secara biologi ini boleh dilengkapkan dengan probiotik akuatik dan bioaugmentasi untuk memecahkan bahan organik, menurunkan amonia dan menyaingi mikroorganisma patogen. Pada skala landskap, tanah lembap buatan serta pemulihan tumbuhan asli seperti bakau dan piai bertindak sebagai bioturas (biofilter) semula jadi, menahan sedimen dan merendahkan beban nutrien. Walaupun pendekatan ini menuntut masa, tindakan segera tetap kritikal agar trajektori pemulihan tidak terlewat.

Menjambatani Kesihatan Sungai dan Sekuriti Makanan

Kebergantungan terhadap kerang sebagai sumber protein perlu disandarkan pada dasar yang menyeluruh. Penyelarasan antara Dasar Agromakanan Negara, kerangka Akta Kualiti Alam Sekeliling, MSPO dan Amalan Pertanian Baik mesti diperkukuh. Mekanisme rentas agensi perlu diberikan mandat yang jelas daripada pelesenan hingga kepada pemantauan dan pemulihan. Insentif fiskal untuk teknologi rawatan efluen, dana pemulihan sungai berasaskan prestasi serta pensijilan produk kerang yang menjamin sumber air bersih boleh memulihkan keyakinan pengguna dan mengangkat nilai pasaran.

Pulihkan Sungai, Selamatkan Kerang

Program  pemulihan sungai ialah pelaburan makanan masa hadapan. Dengan bertindak daripada punca, memupuk tadbir urus yang telus serta menggerakkan penyelesaian biologi dan berasaskan alam, kita mampu memulihkan kitaran hidup kerang daripada benih hingga dewasa sambil mengekalkan ekonomi pesisir. Jika kita mengidam hidangan kerang yang selamat di meja makan esok, kesihatan sungai mesti dipulihkan hari ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi