Diterbitkan pada 26 Februari 2026, 09:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) telah diluluskan oleh Dewan Rakyat, semalam.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Yang Berhormat Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup dalam satu kenyataan, pindaan ini merupakan satu langkah strategik kerajaan MADANI dalam memperkukuh kerangka perundangan alam sekitar negara, sekali gus membuktikan komitmen jitu terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Tambah beliau, pindaan RUU ini akan membolehkan penyerahan kuasa perundangan berkaitan dengan pengurusan buangan terjadual kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak.

Ujarnya,

Langkah ini selaras dengan keputusan Mesyuarat Khas Majlis Perjanjian Malaysia 1963 yang bertujuan untuk menghormati hak autonomi kedua-dua wilayah tersebut.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama bagi memastikan peralihan bidang kuasa ini tidak menjejaskan penguatkuasaan kelestarian alam sekitar di seluruh negara.

Tambahnya,

Usaha ini bukan sekadar pindaan teknikal, tetapi merupakan manifestasi semangat federalisme yang menekankan keseimbangan kuasa serta kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri.

Beliau turut memaklumkan bahawa bacaan kedua dan ketiga bagi RUU ini di Dewan Negara dijangka akan dibuat pada 11 Mac 2026.

“Setelah RUU ini mendapat perkenan daripada Yang Di-Pertuan Agong, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam akan terus mengadakan sesi libat urus bersama-sama Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak bagi menetapkan tarikh pewartaan serta tempoh peralihan yang dipersetujui, selaras dengan perintah penggantungan kuat kuasa Akta 127 tersebut,” jelasnya.

Langkah proaktif ini diambil bagi memastikan proses peralihan kuasa dilaksanakan secara teratur dan lancar tanpa menjejaskan aspek penguatkuasaan, tadbir urus serta pematuhan undang-undang, selain mengelakkan sebarang kekosongan undang-undang atau pertindihan bidang kuasa antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri.

Kredit Foto: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi