Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Negara masih belum mempunyai program saringan pendengaran prasekolah yang dilaksanakan secara menyeluruh pada peringkat kebangsaan walaupun mencatatkan kadar penyertaan pendidikan awal kanak-kanak yang tinggi, dengan majoriti kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun mengikuti program prasekolah di seluruh negara.
Satu kajian rintis di Lembah Klang mendapati sekitar 17 peratus kanak-kanak prasekolah yang disaring menunjukkan masalah pendengaran. Dapatan ini menunjukkan bahawa masalah pendengaran dalam kalangan kanak-kanak prasekolah perlu diberikan perhatian serius.
Bagi menangani isu ini, Consortium on Preschool Hearing Screening for an Equitable Society (CoPHES) telah ditubuhkan dan diterajui oleh Pusat Telinga, Pendengaran dan Pertuturan, Universiti Kebangsaan Malaysia dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Sains Malaysia. Konsortium ini membangunkan model saringan prasekolah yang praktikal untuk dilaksanakan secara lebih meluas.
Antara komponen utama projek termasuklah pembangunan dan pengesahan Alat Saringan Pendengaran Pintar berasaskan kecerdasan buatan yang direka untuk persekitaran prasekolah di Malaysia.
Teknologi ini bertujuan untuk meningkatkan ketepatan saringan serta mengurangkan kebergantungan pada tenaga pakar, sekali gus memudahkan pelaksanaan di kawasan yang kurang mendapat akses kepada perkhidmatan audiologi.
Inisiatif CoPHES ditaja oleh Kementerian Pengajian Tinggi di bawah Geran Konsortium Kecemerlangan Pendidikan dan akan berlangsung selama dua tahun bermula 1 Januari 2026. Menurut Ketua Geran CoPHES, YBrs. Profesor Madya Dr. Rafidah Mazlan, prasekolah merupakan masa yang sesuai untuk pengesanan awal.
Katanya,
Peringkat prasekolah ialah masa yang sesuai untuk pengesanan kerana hampir semua kanak-kanak berada dalam sistem ini. Jika masalah pendengaran dapat dikenal pasti pada tahap ini, tindakan susulan boleh dibuat sebelum kesannya menjadi lebih ketara.
Dalam usaha meningkatkan kesedaran awam, satu bengkel berkaitan dengan saringan dan pengesanan awal masalah pendengaran kanak-kanak telah dianjurkan di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 4 hingga 6 Februari lalu. Bengkel itu turut menampilkan Encik Mohd Faiz Shuhaimi yang berkongsi pengalaman beliau sebagai individu yang mengalami masalah pendengaran sejak kecil.
Ujarnya,
Sebagai individu yang mengalami masalah pendengaran sejak kecil, saya melihat sendiri bagaimana kurangnya kesedaran boleh menyebabkan keadaan ini lewat dikenal pasti. Usaha seperti CoPHES penting untuk membantu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pengesanan awal.
Dengan liputan prasekolah yang meluas, institusi pendidikan awal boleh menjadi ruang yang sesuai untuk memperkukuh usaha pengesanan masalah pendengaran.
Saringan awal bukan sekadar langkah kesihatan, tetapi usaha memastikan kanak-kanak membesar dan belajar dalam keadaan yang menyokong perkembangan mereka.