Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Satu bengkel pemindahan ilmu berkaitan dengan penggunaan garis panduan susun atur dan persekitaran optimum bilik darjah untuk murid kurang upaya penglihatan telah diadakan pada 13 Februari lalu di The Chow Kit – an Ormond Hotel di sini.
Bengkel ini dianjurkan oleh pasukan penyelidik yang diketuai oleh Dr. Zainora Mohammed daripada Pusat Kajian Rehabilitasi dan Keperluan Khas, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dengan pembiayaan geran Kajian Sosial Kementerian Pendidikan Tinggi. Seramai 10 orang guru dari Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur telah menyertai bengkel ini.
Bengkel ini diadakan bertujuan untuk memperkenalkan serta memberi pendedahan tentang penggunaan garis panduan yang telah dibangunkan yang merupakan satu inisiatif penting dalam memastikan persekitaran bilik darjah dapat disesuaikan dengan keperluan visual murid secara lebih terancang dan berfokus.
Melalui pendekatan ini, guru bukan sahaja memahami tahap fungsi penglihatan murid, malah dapat mengenal pasti keperluan khusus yang mempengaruhi pelibatan dan keberkesanan pembelajaran mereka.
Bagi memudahkan pelaksanaan garis panduan ini, pasukan penyelidik telah mengintegrasikan garis panduan tersebut ke dalam VISPROFILE yang merupakan satu inovasi berasaskan web yang berfungsi sebagai platform penyimpanan dan pengurusan data visual murid secara sistematik, seterusnya menjana cadangan susun atur dan persekitaran bilik darjah yang bersesuaian.
Menerusi bengkel ini, para guru telah didedahkan secara langsung kepada cara penggunaan sistem VISPROFILE, termasuk kaedah memasukkan maklumat murid dan menjana cadangan yang disesuaikan mengikut profil visual setiap murid merangkumi aspek seperti kedudukan tempat duduk, pencahayaan, penggunaan bahan bantu mengajar serta susun atur persekitaran kelas.

Bengkel ini amat bermanfaat dan relevan dengan tugasan harian guru. Maklumat yang diperoleh melalui VISPROFILE membantu mereka memahami dengan lebih mendalam keperluan visual murid serta meningkatkan keyakinan dalam membuat keputusan berkaitan dengan pengurusan bilik darjah.
Inisiatif ini diharap dapat menyumbang kepada pewujudan persekitaran pembelajaran yang lebih inklusif, selamat dan kondusif bagi murid kurang upaya penglihatan.