Diterbitkan pada 3 Februari 2026, 18:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam — Universiti Teknologi MARA (UiTM) sekali lagi mencipta sejarah apabila berjaya melaksanakan misi nanosatelit UiTMSAT-2, satelit kolaborasi pertama ASEAN di bawah projek ASEANSAT, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju teknologi angkasa universiti di Asia Tenggara.

UiTMSAT-2 merupakan satelit CubeSat 1U seberat kira-kira 1.10 kilogram dengan dimensi 10 × 10 × 11.35 sentimeter yang beroperasi di Low Earth Orbit pada ketinggian 380 hingga 400 kilometer dengan menggunakan jalur frekuensi VHF-UHF amatur, membawa misi utama kamera pemerhatian bumi serta misi sekunder Internet benda berasaskan angkasa bagi penghantaran data penderia dari kawasan terpencil tanpa rangkaian darat.

Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib@Sahibuddin menzahirkan penghargaan kepada pasukan penyelidik, jurutera dan pelajar yang terlibat, di samping menegaskan bahawa pencapaian ini melambangkan keupayaan universiti tempatan melahirkan bakat global dan memacu penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang angkasa.

Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib@Sahibuddin ketika berucap bersempena dengan pelancaran UiTMSAT-2 di UiTM Shah Alam.

Sementara itu, Ketua Projek UiTMSAT-2, YBrs. Ts. Dr. Fatimah Zaharah Ali berkata, kejayaan pelepasan satelit tersebut membuktikan bahawa universiti tempatan mampu melaksanakan projek teknologi angkasa yang kompleks melalui kerjasama strategik serta perancangan jangka masa panjang.

Sesi penerangan pelancaran UiTMSAT-2 dari ISS ke orbit disampaikan oleh Ketua Projek UiTMSAT-2, YBrs. Ts. Dr. Fatimah Zaharah Ali.

Pelancarannya ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dilaksanakan pada 26 Oktober 2025 pada pukul 8.00 pagi waktu Malaysia dengan menggunakan roket H3 F7 oleh Japan Aerospace Exploration Agency dari Tanegashima Space Center, sebelum kenderaan HTV-X berlabuh di ISS pada 30 Oktober 2025 dan satelit tersebut dijadualkan dilepaskan ke orbit melalui modul Japanese Experiment Module dengan menggunakan mekanisme J-SSOD, hari ini.

Pembangunan satelit ini bermula sejak Februari 2021 di Fakulti Kejuruteraan Elektrik, UiTM melalui pembinaan model kejuruteraan yang meliputi perolehan komponen, reka bentuk papan litar, integrasi subsistem dan pengujian fungsi, diikuti dengan ujian getaran serta keserasian elektromagnet di fasiliti Agensi Angkasa Malaysia di Banting.

Pembangunan Flight Model pula diteruskan di Kyushu Institute of Technology pada tahun 2024 hingga tahun 2025 termasuklah integrasi panel solar serta ujian persekitaran angkasa seperti thermal vacuum test, antenna deployment test, communication test dan fit check test.

Projek ini diterajui oleh UiTM sebagai institusi utama dengan kolaborasi University of Perpetual Help System DALTA (Filipina) dan King Mongkut’s University of Technology North Bangkok (Thailand) serta sokongan teknikal Kyutech, manakala pembiayaan disumbangkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui Dana ICF sebanyak RM500,000.00, UiTM melalui Dana SRP serta rakan kolaborasi antarabangsa.

Kemudahan pembangunan merangkumi Satellite Integration Laboratory di Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan UiTM Ground Station di Kompleks Kejuruteraan Shah Alam yang dilengkapi dengan antena Yagi VHF/UHF, sistem rotator serta lesen operator amatur membolehkan pemantauan orbit, komunikasi satelit dan latihan operasi sebenar kepada pelajar serta penyelidik.

Selain impak teknologi, UiTMSAT-2 turut menyumbang kepada pembangunan kapasiti nasional termasuklah penyertaan UiTM sebagai konsultan akademik dalam Malaysia Space Exploration 2030, pelantikan sebagai Malaysia Point of Contact bagi UNISEC-Global, peneraju Malaysia Space University Consortium (MySpaceU) serta pelibatan dalam program Space STEM Outreach bagi memperluas literasi teknologi angkasa pada peringkat sekolah dan komuniti.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi