Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur — Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) menyertai National STEM Expo 2026 pada 11 hingga 12 Februari lalu dalam usaha menyokong pembangunan dan pemerkasaan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) pada peringkat nasional.
Penganjuran National STEM Expo 2026 bertujuan untuk menginspirasikan golongan muda agar menceburi masa hadapan berteraskan STEM, di samping mempromosikan pendidikan, kerjaya serta keusahawanan dalam bidang tersebut.
Ekspo ini juga berperanan sebagai platform untuk memperkukuh kerjasama pihak industri, akademia dan pihak kerajaan serta memperkasakan inovasi melalui pembelajaran secara amali (hands-on) dan pendedahan kepada teknologi baharu.
PPPJJ USM telah mempamerkan Chem Kit 4Kids, iaitu kit pembelajaran kimia yang direka khas untuk memperkenalkan konsep asas sains secara interaktif dan menyeronokkan.
PPPJJ USM turut menganjurkan aktiviti interaktif STEM seperti Magic Balloon, Go Away Glitter dan Sugar Rainbow, yang memberikan peluang kepada pengunjung untuk memahami fenomena sains melalui eksperimen mudah dan menarik.

Menurut wakil dari PPPJJ USM, YBrs. Profesor Madya ChM. Dr. Tan Wen Nee, penyertaan dalam National STEM Expo 2026 bukan sahaja memperluas jangkauan pemindahan ilmu kepada masyarakat, malah mengukuhkan peranan universiti sebagai ejen perubahan dalam memupuk budaya inovasi dan kreativiti dalam kalangan generasi muda.
Beliau berkata,
Pelibatan ini membuka ruang kepada kolaborasi strategik antara pihak universiti dan industri dengan agensi berkaitan dalam memperkasakan ekosistem STEM negara, di samping menyokong pembangunan modal insan berkemahiran tinggi selaras dengan keperluan masa hadapan dan agenda transformasi pendidikan negara.
Secara keseluruhannya, penyertaan dalam National STEM Expo 2026 menunjukkan peranan aktif universiti dalam membina generasi muda yang kreatif, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan berteraskan STEM, selari dengan usaha memperkukuh ekosistem pendidikan dan inovasi pada peringkat nasional.