Diterbitkan pada 12 Februari 2026, 15:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil langkah berani ke hadapan dalam memastikan teknologi perubatan yang digunakan di negara ini benar-benar memberikan manfaat menyeluruh kepada pesakit, bukan sekadar dinilai berdasarkan kos semata-mata.

Majlis Pelancaran Kertas Putih bertajuk “Enhancing the Assessment of Medical Devices in Malaysia: A Comprehensive Value-Based Approach” telah berlangsung dengan jayanya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru-baru ini, yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat (YB) Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib.

Dalam ucapannya, YB Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib menegaskan bahawa cara Malaysia menilai teknologi kesihatan perlu berubah. Menurutnya, sesuatu peranti perubatan tidak boleh lagi dinilai hanya berdasarkan harganya atau keberkesanan klinikal dalam jangka masa pendek sahaja.

Jelasnya,

Teknologi perubatan yang baik seharusnya mampu mengurangkan hilang upaya jangka panjang, membantu pesakit kembali bekerja serta meringankan beban yang dipikul oleh ahli keluarga yang menjaga mereka.

Pendekatan baharu ini dikenali sebagai Penilaian Teknologi Kesihatan atau Health Technology Assessment (HTA), yang bakal diperkukuh melalui penggunaan data daripada pengalaman pesakit sebenar di lapangan, bukan bergantung pada kajian makmal semata-mata.

KKM turut menekankan kepentingan pelibatan golongan profesional kesihatan secara aktif sebagai rakan strategik dalam proses penilaian ini bagi memastikan setiap inovasi perubatan yang diluluskan benar-benar memberikan manfaat kepada pesakit secara adil dan saksama.

Langkah ini juga selaras dengan agenda reformasi sistem kesihatan negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, yang antara lain bertujuan untuk menangani isu kos sara hidup rakyat termasuklah dalam aspek perbelanjaan kesihatan.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Perkembangan Perubatan KKM, YBrs. Dr. Izzuna Mudla Mohamed Ghazali; Timbalan Pengarah Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan Malaysia (MaHTAS), YBrs. Dr. Syaqirah Akmal serta Pengurus Besar IQVIA Malaysia, Cik Veronica Yong.

Dengan pelancaran kertas putih ini, KKM berharap Malaysia dapat membangunkan sistem penilaian peranti perubatan yang bersifat lebih menyeluruh, telus dan berpusatkan keperluan sebenar rakyat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi