Diterbitkan pada 7 Februari 2026, 12:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sungai BulohSekolah Kebangsaan Saujana Utama dengan kerjasama Pusat Pengajian Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam telah menganjurkan program Biocycle BSF: Where Waste Becomes Wellness yang merupakan satu inisiatif pendidikan berteraskan kelestarian.

Program yang dilaksanakan pada 5 Februari lalu dirangka sebagai pendekatan bersepadu yang menggabungkan pengurusan sisa organik, pembelajaran berasaskan pengalaman serta pemindahan ilmu sains gunaan daripada institusi pengajian tinggi kepada komuniti sekolah.

Pelaksanaan program ini diperkukuh melalui pelibatan pasukan penyelidikan dari Makmal Penyelidikan Black Soldier Fly, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM yang diketuai oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Ahmad Razali Ishak.

YBrs. Prof. Madya Dr. Ahmad Razali Ishak memberikan penerangan berkaitan dengan BSF.

Pada peringkat sekolah, pelaksanaan dan penyelarasan aktiviti dipimpin oleh guru penyelaras, Vathsala Nayer a/p Vailathan, yang memainkan peranan penting dalam memastikan kesinambungan program serta pelibatan aktif pelajar sepanjang tempoh pelaksanaan program.

Kerjasama rapat antara pihak sekolah dengan universiti ini membolehkan setiap fasa program dijalankan secara terancang dan selari dengan objektif pembelajaran serta keupayaan pelajar.

Secara praktikalnya, sisa makanan daripada kantin sekolah digunakan sebagai bahan utama dalam sistem pengkomposan berasaskan larva Black Soldier Fly (BSF). Melalui bimbingan teknikal yang berterusan, pelajar diperkenalkan kepada teknik asas pengurusan sisa organik, termasuk pemilihan sisa yang sesuai, pemantauan keadaan persekitaran pengkomposan serta penjagaan larva sepanjang tempoh pertumbuhan.

Baja kompos yang terhasil akan dimanfaatkan untuk kegunaan sekolah, manakala larva BSF digunakan sebagai sumber makanan alternatif berprotein tinggi seperti makanan ikan di kolam hiasan sekolah.

Pendekatan ini secara langsung memperlihatkan konsep kitaran sumber, iaitu sisa tidak lagi dilihat sebagai beban, tetapi sebagai input yang memberikan nilai tambah kepada persekitaran sekolah.

Pelajar yang terlibat dalam program ini merupakan ahli Kelab Doktor Muda, yang sememangnya mempunyai asas kesedaran terhadap aspek kesihatan dan kebersihan persekitaran.

Pelibatan kelab ini menjadikan pelaksanaan program lebih bermakna kerana pelajar bukan sahaja berperanan sebagai peserta, tetapi turut berfungsi sebagai agen penyampai maklumat kepada rakan sebaya.

Melalui aktiviti pemerhatian kitar hidup BSF, pengukuran perkembangan larva serta perekodan data secara sistematik, pelajar didedahkan kepada kemahiran saintifik yang menyokong pembentukan pemikiran kritikal dan pemahaman berasaskan bukti.

Selain itu, program ini turut membuka ruang kepada pelajar untuk menghasilkan inovasi mudah berasaskan hasil pengkomposan BSF yang menggalakkan kreativiti, rasa tanggungjawab dan pemikiran reflektif terhadap potensi guna semula sisa organik.

Aktiviti pembentangan dalam bentuk poster, carta dan dokumentasi visual pula membantu membina keyakinan diri serta kemahiran komunikasi saintifik secara asas, yang berpotensi menyemai minat jangka panjang terhadap bidang sains dan kesihatan.

Secara keseluruhannya, program ini memperlihatkan kolaborasi strategik antara sekolah dengan universiti mampu memperkukuh pendidikan kelestarian pada peringkat akar umbi.

Dengan sokongan guru penyelaras dan pelibatan aktif pelajar Kelab Doktor Muda, program ini bukan sahaja menyumbang kepada pengurangan sisa organik di sekolah, malah berperanan membentuk generasi pelajar yang lebih peka terhadap alam sekitar, celik sains dan berupaya melihat sisa sebagai sumber yang berpotensi menjana kesejahteraan komuniti.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi