Diterbitkan pada 4 Februari 2026, 14:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pengiktirafan Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebagai antara hospital terbaik dunia tidak sekadar meletakkan sistem kesihatan negara pada kemuncak persada global, malah menjadi pemangkin kepada langkah progresif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mengarusperdanakan agenda penyakit jarang jumpa menerusi pelancaran dasar nasional yang bersifat transformatif.

Majlis Sambutan Hari Penyakit Jarang Jumpa 2026 ini telah disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad sebagai bukti kecemerlangan tadbir urus klinikal yang akan diperluas skopnya untuk membela nasib penghidap penyakit jarang jumpa di seluruh negara.

Menurut YB Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly Ahmad, beliau menzahirkan rasa bangga terhadap pengiktirafan HKL, yang disifatkan sebagai manifestasi kehebatan sistem kesihatan negara.

Jelas beliau,

Sesebuah sistem kesihatan tidak hanya diukur melalui kejayaan hospital besar, malah berkeupayaan melindungi golongan paling lemah dan sukar mendapat akses kesihatan.

Melalui dasar baharu kesihatan, KKM akan memberikan tumpuan khusus kepada tiga aspek kritikal, iaitu pengukuhan tadbir urus klinikal, diagnosis awal dan tepat serta akses rawatan.

Bagi memperkukuh sokongan fiskal negara, YB Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly Ahmad turut mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM5 juta daripada Kementerian Kewangan yang akan bermula pada tahun 2027.

Beliau menambah bahawa keterlibatan pihak luar amat diperlukan bagi mengurus kos yang tinggi menerusi sumber filantropi.

Jelasnya,

KKM juga dalam perancangan untuk menggembleng sumber sektor filantropi daripada golongan jutawan dan swasta. Kita juga memahami bahawa kos rawatan penyakit ini amat tinggi dan memerlukan sokongan semua pihak menerusi kerjasama strategik.

YB Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly Ahmad turut menyatakan bahawa sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia bersedia menggalas tanggungjawab untuk mengangkat isu penyakit jarang jumpa keluar daripada kepompong domestik ke persada antarabangsa.

Beliau menambah,

Langkah strategik ini bertujuan untuk mewujudkan satu ekosistem kerjasama yang lebih erat merangkumi penubuhan pusat kecemerlangan serta integrasi data penyelidikan klinikal antara negara anggota, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai pelopor untuk membela kebajikan pesakit di seluruh rantau Asia Tenggara.

Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly Ahmad ketika menyampaikan ucapan perasmian Sambutan Hari Penyakit Jarang Jumpa 2026.

Pada masa yang sama, beliau telah menyempurnakan pelancaran Dasar Kebangsaan Penyakit Jarang Jumpa Malaysia, sebuah kerangka kerja strategik yang direka untuk menamatkan pendekatan bersifat ad hoc dalam sistem kesihatan negara.

Sementara itu, Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL), YBhg. Dato’ Dr. Harikrishna K.R. Nair menyatakan bahawa sambutan Hari Penyakit Jarang Jumpa 2026 amat bermakna kerana menyatukan para pesakit, ahli keluarga dan penjaga selain menghubungkan komuniti dengan profesional kesihatan, merapatkan jurang antara pengalaman hidup sebenar dan memberikan pendedahan tentang perkhidmatan kesihatan yang tersedia.

Jelasnya, sepanjang sambutan tersebut, semangat kebersamaan melalui pelbagai acara bermakna dapat disaksikan, termasuklah sesi perkongsian pengalaman yang memberikan ruang kepada para pesakit untuk bersuara, serta pameran kesedaran awam Rare but Real yang melibatkan 24 buah organisasi bagi menyebarkan maklumat mendalam mengenai penyakit jarang jumpa di Malaysia kepada masyarakat umum.

Katanya,

Bagi menjayakan inisiatif ini, pihak penganjur telah mengumpul hampir 2000 ikrar cap tangan di lapan hospital utama termasuk Hospital Kuala Lumpur; Hospital Tunku Azizah; Hospital Canselor Tuanku Muhriz, UKM; Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, UKM; Pusat Perubatan Universiti Malaya; Hospital Pulau Pinang; Hospital Universiti Sains Malaysia dan Hospital Loh Guan Lye sebagai simbol solidariti dan komitmen teguh seluruh negara terhadap komuniti penyakit jarang jumpa.

Pengarah Hospital Kuala Lumpur, YBhg. Dato’ Dr. Harikrishna K.R. Nair ketika menyampaikan kata alu-aluannya.

Turut hadir dalam majlis pelancaran Sambutan Hari Penyakit Jarang Jumpa 2026 ialah Ketua Subkepakaran Genetik Klinikal KKM dan Ketua Jabatan Genetik HKL, YBrs. Dr. Ngu Lock Hock; Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Perkembangan Perubatan, YBrs. Dr. Izzuna Mudla Mohamed Ghazali; Pengarah Hospital Tunku Azizah, Dr. Shamsul Anuar Kamarudin serta barisan pegawai kanan KKM.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi