Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSepang – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini melangkah ke arah operasi yang lebih lestari apabila mempunyai ladang solar dan sistem penstoran tenaga bateri (BESS) sendiri bagi mengurangkan kebergantungan pada sumber tenaga konvensional serta pelepasan karbon dioksida.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, YAB Datuk Amar Haji Fadillah Haji Yusof dalam ucapannya berkata, projek Ladang Solar Fotovoltan dan BESS di KLIA Aeropolis merupakan inisiatif penting dalam memastikan peralihan negara kepada tenaga hijau dapat dilaksanakan secara praktikal dan berskala besar.
Ujarnya,
Projek berkenaan menyokong sasaran Malaysia untuk mencapai 70 peratus penggunaan tenaga boleh baharu menjelang tahun 2050, selaras dengan komitmen negara terhadap agenda peralihan tenaga dan pembangunan mampan.
Menurutnya, apabila siap sepenuhnya, projek tersebut dijangka mampu menjana kira-kira 46 gigawatt-jam tenaga elektrik hijau setahun untuk kegunaan operasi KLIA.
Katanya,
Dari sudut alam sekitar, projek ini berpotensi untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida hingga 35 000 tan setahun, iaitu bersamaan dengan pengurangan kira-kira 8000 kenderaan di jalan raya.
Beliau menjelaskan sebagai hab pengangkutan utama dan pintu masuk ekonomi negara, KLIA memerlukan bekalan tenaga yang stabil dan selamat bagi memastikan kelangsungan operasi lapangan terbang yang lancar dan berdaya saing.
Katanya, inisiatif tenaga hijau ini turut meningkatkan daya saing KLIA pada peringkat antarabangsa melalui penyertaan dalam Akreditasi Karbon Lapangan Terbang.
Jelasnya lagi, projek ini juga menyokong hasrat Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk mencapai 20 peratus campuran tenaga boleh baharu menjelang tahun 2030 serta sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebuah syarikat tujuan khas, Cenergi Aeropolis Renewable Energy Sdn. Bhd. telah ditubuhkan hasil kerjasama antara MAHB dengan Cenergi SEA bagi mengurus serta melaksanakan projek berkenaan.
Menurutnya, sistem bateri memainkan peranan kritikal kerana penjanaan tenaga solar bergantung pada cuaca, yakni lebihan tenaga pada waktu siang boleh disimpan untuk digunakan semasa permintaan tinggi, sekali gus membantu mengurangkan kos operasi KLIA.
Tegasnya,
Peralihan tenaga negara mesti dilaksanakan secara seimbang dengan keperluan kebolehpercayaan bekalan elektrik serta daya saing ekonomi Malaysia.