Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTapah – Fakulti Sains Komputer dan Matematik bersama-sama Statistical Consultation Unit, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak menganjurkan webinar yang menumpukan kepada analitik data bertajuk “Exploring Data with R – A Practical Introduction to Statistical Analysis” bagi meningkatkan kefahaman dan kemahiran praktikal analisis statistik dengan menggunakan perisian R.
Webinar yang dilaksanakan secara dalam talian menerusi platform Google Meet itu menampilkan Pensyarah Kanan Pakar Statistik Pengkomputeran, YBrs. Dr. Mohammad Nasir Abdullah sebagai penceramah.

Program berteraskan teknologi data tersebut memberikan pendedahan praktikal kepada para peserta untuk mengenal penggunaan perisian R yang semakin meluas dalam penyelidikan akademik dan industri berasaskan data.
Sepanjang webinar, para peserta mengikuti beberapa slot amali termasuklah pengenalan kepada R, kaedah import dan eksport data, penerokaan data dengan menggunakan pakej “dplyr” serta teknik visualisasi dan peringkasan data.
Untuk memastikan pelibatan aktif, para peserta turut digalakkan memuat turun dan memasang perisian R serta RStudio sebagai persediaan awal sebelum sesi latihan dijalankan.
Menurut YBrs. Dr. Mohammad Nasir Abdullah, R merupakan bahasa pengaturcaraan dan persekitaran perisian percuma bagi pengkomputeran statistik yang menyokong analisis data, pemodelan statistik serta penghasilan grafik berkualiti tinggi.
Beliau menjelaskan bahawa R ialah pelaksanaan sumber terbuka kepada bahasa S yang dibangunkan sebagai projek GNU dan berasal daripada S language yang dicipta di Bell Labs.
Ujarnya,
Kekuatan utama R terletak pada kepelbagaian teknik statistik yang disokong, termasuklah pemodelan, ujian statistik klasik, analisis siri masa, pengelasan dan kaedah lanjutan lain.
R juga dikenali kerana keupayaannya menghasilkan grafik bertaraf penerbitan dengan kawalan penuh terhadap reka bentuk visual dan penggunaan simbol matematik.
Dari segi teknikal, R bersifat percuma dan merentas platform serta boleh digunakan pada sistem UNIX-like termasuklah Linux, Windows dan macOS.
Katanya,
R berfungsi sebagai bahasa pengaturcaraan sebenar yang menyokong algebra matriks, gelung, percabangan dan ciri berorientasikan objek.
Dalam konteks visualisasi data moden, R membolehkan penjanaan laporan automatik dan dokumen dinamik secara boleh ulang yang boleh diterbitkan dalam format seperti format dokumen mudah alih (PDF).
Beliau turut menyentuh beberapa kekangan R, misalnya ketiadaan antara muka grafik asli, bukan sebuah pangkalan data, prestasi pentafsir (interpreter) yang boleh menjadi perlahan serta ketiadaan paparan helaian hamparan terbina dalam.
Walau bagaimanapun, R kekal menonjol dengan kelebihannya sebagai perisian sumber terbuka, visualisasi grafik yang mantap, komuniti pengguna global yang aktif serta keupayaan integrasi dengan Python, SQL dan SPSS.
Selain itu, R amat fleksibel melalui ribuan pakej tambahan dan sesuai digunakan dalam penyelidikan serta analitik data lanjutan merangkumi bidang bioinformatik, kewangan, sains sosial dan kecerdasan buatan.
Webinar ini disertai oleh peserta daripada pelbagai latar belakang termasuklah pensyarah, mahasiswa dan pelajar pascasiswazah, sekali gus mencerminkan peningkatan kesedaran terhadap kepentingan kemahiran analitik data dalam ekosistem akademik dan profesional pada masa ini.
