Diterbitkan pada 28 Januari 2026, 10:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuching – Sarawak bakal menceburi ekonomi angkasa lepas dengan memanfaatkan teknologi satelit nano generasi baharu, CubeSat bagi memperkukuh pemantauan alam sekitar, pengurusan tanah dan pembangunan sektor berimpak tinggi di negeri ini.

Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg berkata, penggunaan CubeSat menawarkan penyelesaian yang lebih praktikal dan menjimatkan kos berbanding dengan satelit konvensional, sekali gus membolehkan pengumpulan data yang lebih tepat dan berterusan.

Menurut beliau, CubeSat merupakan platform aeroangkasa bersaiz kecil yang beroperasi di orbit rendah bumi serta bergerak secara berkumpulan untuk berkomunikasi dan menghantar data masa nyata ke bumi.

Beliau menjelaskan, data daripada CubeSat amat penting dalam perlindungan alam sekitar, khususnya untuk memantau kawasan bakau, corak aliran air dan mengenal pasti titik pegangan air untuk memperkukuh usaha pengurusan banjir.

Beliau turut mendedahkan bahawa kos satelit konvensional boleh mencecah antara 100 juta hingga 300 juta euro, manakala sebuah CubeSat berharga di bawah 500,000 euro, sekali gus menjadikannya lebih berdaya saing untuk pembangunan teknologi negeri.

Dari sudut ekonomi, beliau menyatakan bahawa industri ini berpotensi mewujudkan hingga 30 000 peluang pekerjaan bernilai tinggi, dengan Sarawak giat melatih bakat tempatan melalui kerjasama Kolej Universiti i-CATS bersama-sama institusi di Singapura dan Istanbul Technical University.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Aeroangkasa Asia Pasifik (APACE) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching yang turut menyaksikan pertukaran tujuh memorandum persefahaman bagi mempercepat pembangunan industri aeroangkasa Sarawak.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi