Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Pusat Telinga, Pendengaran dan Pertuturan (HEARS), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama MED-EL Hearlife Malaysia menganjurkan bengkel selama dua hari bersempena dengan pelancaran Siri Profesional HEARS 2026 bagi memperkukuh pengurusan rehabilitasi aural dewasa secara holistik, selaras dengan keperluan semasa penjagaan pendengaran.
Bengkel tersebut menghimpunkan sebanyak 55 orang peserta terdiri daripada ahli audiologi serta ahli terapi pertuturan-bahasa dari sektor awam dan swasta yang diberikan pendedahan kepada pendekatan rehabilitasi pendengaran dewasa yang komprehensif, berterusan dan merangkumi aspek klinikal, fungsian serta psikososial pesakit.

Pengisian bengkel berkenaan merangkumi gabungan sesi teori dan aktiviti main peranan (role play) bagi meningkatkan kefahaman serta kemahiran praktikal peserta dalam pengendalian kes klinikal sebenar.

Bengkel ini dikendalikan oleh pensyarah Program Audiologi, YBrs. Dr. Akmaliza Ali yang juga bertindak sebagai pengarah bengkel bersama-sama YBrs. Dr. Chong Foong Yen serta dua orang penceramah undangan dari MED-EL, iaitu Puan Donna Sperandio dan YBrs. Dr. Deepthi Mahadevappa yang berpengalaman dalam rehabilitasi aural dewasa.
Antara topik utama yang dibincangkan termasuklah penetapan jangkaan realistik dalam proses rehabilitasi, latihan auditori dewasa, pengukuran hasil rehabilitasi, pertimbangan psikososial, keperluan khusus warga emas, penggunaan Ling 6 dalam teknologi pendengaran serta pengenalan aplikasi ReDi sebagai sokongan rehabilitasi aural.
Bengkel ini turut menampilkan forum yang bertajuk “Menelusuri Sempadan Profesional” yang menjadi platform perbincangan antara ahli profesional berkaitan dengan peranan serta sempadan kepakaran dalam pengurusan rehabilitasi aural dewasa.
Forum tersebut menampilkan YBrs. Prof. Madya Dr. Cila Umat, Puan Nurul Atiqah Mohd Zaki, Puan Nurulhusna Mohd Nor, Puan Rozila Sumardi dan Puan Sherin Sokmum sebagai ahli panel, dengan sesi perbincangan dikendalikan oleh YBrs. Dr. Nashrah Maamor dari Program Audiologi dan Puan Donna Sperandio dari MED-EL.

Perbincangan forum tersebut merumuskan bahawa kolaborasi erat antara ahli audiologi dengan ahli terapi pertuturan-bahasa merupakan elemen penting dalam memastikan pengurusan rehabilitasi aural dewasa yang lebih berkesan, menyeluruh dan berterusan.
Sebagai penutup, Ketua Pusat HEARS, YBrs. Prof. Madya Dr. Cila Umat mengumumkan perancangan penganjuran program bimbingan klinikal lanjutan kepada peserta terpilih sepanjang tahun 2026 yang akan dilaksanakan dalam dua sesi dan dibimbing oleh pakar MED-EL.
Pusat HEARS turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur yang diketuai oleh YBrs. Dr. Akmaliza Ali serta MED-EL Hearlife Malaysia atas kerjasama strategik dan komitmen berterusan dalam memperkasakan pembangunan profesional penjagaan pendengaran.