Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – Projek Sambungan Grid Kuasa Sarawak–Sabah yang mula beroperasi pada 13 Disember lalu menjadi pemangkin utama kepada pembentukan Grid Kuasa Borneo dan seterusnya Grid Kuasa ASEAN bagi memperkukuh kerjasama tenaga serantau.
Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg berkata, projek itu bukan sekadar menghubungkan bekalan elektrik antara dua negeri, malah merupakan langkah strategik untuk memulakan jaringan tenaga berskala lebih luas di rantau ini.
“Projek ini sangat penting kerana menjadi titik mula kepada Grid Kuasa Borneo dan seterusnya Grid Kuasa ASEAN,” katanya selepas merasmikan projek tersebut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.
Beliau turut mencadangkan ASEAN mencontohi model kerjasama tenaga Kesatuan Eropah (EU) yang menyaksikan negara Nordik membekalkan tenaga melalui kabel dasar laut bagi mempercepat pembangunan rangkaian tenaga bersama.
Jelasnya,
ASEAN tidak perlu mencipta semula model baharu, model EU boleh dijadikan sebagai rujukan.
Beliau juga menyatakan bahawa sambungan grid ini berpotensi diperluas ke Kalimantan, Brunei, Filipina selatan dan akhirnya Singapura, sekali gus membentuk rangkaian “Borneo Green” yang lebih menyeluruh.
Kini, Sarawak mempunyai kapasiti hidroelektrik sebanyak 3558 megawatt (MW) dengan tambahan 1285 MW yang dijangkakan siap menjelang tahun 2030, manakala kapasiti terpasang negeri itu diunjur mencecah 10 000 MW pada tahun 2031.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, YBhg. Datuk Mohd Yaakob Jaafar berkata, projek berkenaan meningkatkan margin rizab tenaga Sabah daripada empat hingga lima peratus kepada 14 peratus.
Katanya,
Dengan adanya sokongan kapasiti tambahan dari Sarawak, margin rizab dijangkakan berkembang kepada 22 peratus dalam tempoh dua tahun akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, YBhg. Datuk Sharbini Suhaili pula menegaskan bahawa kerjasama ini membolehkan perkongsian sumber tenaga boleh diperbaharui Sarawak dengan negara di rantau ASEAN.
Pengarah Eksekutif Pusat Tenaga ASEAN, YBhg. Dato Razib Dawood memuji pencapaian tersebut sebagai langkah besar ke arah merealisasikan Grid Tenaga ASEAN yang lebih meluas.
Ujarnya,
Walaupun melibatkan dua negeri sahaja, hal ini merupakan langkah penting ke arah Grid Tenaga Borneo yang akan menghubungkan lebih banyak kawasan di ASEAN.
Projek tersebut telah membuktikan komitmen Sarawak dan Sabah dalam menyokong peralihan kepada tenaga bersih dan mampan demi masa hadapan yang lebih hijau di rantau ini.