Diterbitkan pada 27 Januari 2026, 16:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ampang – Pelajar Tahun Tiga Program Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kampus Kuala Lumpur telah menganjurkan Program Kesedaran Strok Berulang di Pusat Persatuan Kebangsaan Strok Malaysia (NASAM), Ampang sebagai usaha meningkatkan pengetahuan komuniti tentang risiko strok berulang serta kepentingan pencegahan dan pemulihan berterusan.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada tugasan kursus wajib berkredit Community Based Rehabilitation (CBR) yang dilaksanakan dengan kerjasama NASAM Ampang sebagai rakan komuniti, sekali gus memberikan peluang kepada pelajar menyampaikan pendidikan kesihatan berasaskan bukti kepada pesakit strok, penjaga dan masyarakat setempat.

Penganjuran program ini melibatkan sebanyak 27 orang ahli jawatankuasa pelajar dan disertai oleh 17 orang peserta yang terdiri daripada pesakit strok serta penjaga bagi memastikan maklumat kesihatan dan aktiviti pemulihan dapat difahami serta digunakan secara menyeluruh dalam penjagaan harian pada peringkat komuniti.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran wakil NASAM Ampang, Puan Khadijah, selain dipantau oleh pensyarah Program Fisioterapi, Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (HCARE), FSK, UKM, YBrs. Dr. Sumaiyah Mat yang memastikan pelaksanaan program berjalan selaras dengan objektif akademik, keperluan komuniti dan amalan profesional.

Program dimulakan dengan gimik simbolik reben merah pada papan pameran sebagai mesej kesedaran strok, diikuti dengan aktiviti pemanasan dan senaman aerobik bagi meningkatkan kesediaan fizikal serta mewujudkan suasana yang kondusif sebelum pengisian utama program berlangsung.

Gimik reben merah melambangkan kesedaran tentang strok dan sokongan terhadap pesakit.
Para peserta melakukan senaman aerobik sebagai persediaan fizikal dan mental sebelum sesi ceramah dan latihan praktikal dijalankan.

Pengisian utama program berkenaan merangkumi ceramah kesedaran mengenai strok berulang yang disampaikan oleh pelajar, dengan kandungan dibangunkan berasaskan bukti saintifik serta disemak dan diperakukan oleh YBrs. Dr. Sumaiyah Mat bersama-sama wakil NASAM Ampang dalam memastikan penyampaian tepat, relevan dan mudah difahami oleh para peserta.

Ceramah tersebut meliputi pengenalan strok dan strok berulang, faktor risiko, tanda serta gejala awal, selain menekankan kepentingan pengesanan dan tindakan segera bagi mengurangkan komplikasi serta meningkatkan peluang pemulihan.

Selain aspek teori, para peserta turut didedahkan kepada strategi pencegahan strok berulang melalui pemantauan tekanan darah, pengurusan gaya hidup sihat dan aktiviti fizikal yang bersesuaian mengikut tahap kemampuan, termasuklah pendidikan asas keselamatan semasa menjalankan aktiviti harian.

Antara penekanan praktikal yang diketengahkan termasuklah teknik duduk dan berdiri yang betul, cara menaiki serta menuruni tangga dengan selamat menggunakan alat sokongan atau bantuan penjaga, selain langkah mengurus risiko jatuh bagi mengelakkan kecederaan dalam kehidupan seharian.

Pendekatan ceramah dilaksanakan secara interaktif melalui sesi soal jawab, demonstrasi dan simulasi situasi harian bagi membantu para peserta mempraktikkan pengetahuan yang diperoleh serta meningkatkan keyakinan mereka dalam pengurusan diri.

Program ini turut disusuli dengan aktiviti berkumpulan berkonsepkan permainan yang dirangka secara berstruktur mengikut tahap fungsi sederhana dan tinggi bagi menyokong peningkatan keseimbangan, koordinasi pergerakan, perhatian, fungsi kognitif serta keyakinan diri para peserta dalam suasana yang selamat dan terkawal.

Para peserta berpeluang menyertai aktiviti permainan yang dirangka bagi meningkatkan keseimbangan, koordinasi dan keyakinan diri.

Gabungan teori, latihan praktikal dan interaksi aktif sepanjang program dilihat dapat membantu peserta memperoleh pengetahuan dan kemahiran lebih menyeluruh dalam menghadapi risiko strok berulang, di samping memperkukuh kesedaran terhadap kepentingan penjagaan kesihatan secara berterusan.

Program diakhiri dengan sesi penyejukan badan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan peserta selepas aktiviti fizikal, sebelum diteruskan dengan jamuan ringan yang turut menjadi medium interaksi sosial antara peserta, penjaga dan pelajar dengan pihak NASAM.

Pelaksanaan program ini mencerminkan prinsip CRB yang menekankan pelibatan komuniti, keluarga serta penjaga dalam menyokong proses pemulihan pesakit strok di luar persekitaran klinikal.

Pelibatan secara langsung dalam perancangan dan pelaksanaan program turut memberikan manfaat yang besar kepada pelajar fisioterapi melalui pembelajaran berasaskan khidmat yang membina kemahiran komunikasi kesihatan, empati, profesionalisme serta tanggungjawab sosial sebagai bakal pengamal kesihatan.

Program ini juga menyokong Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG), khususnya SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan melalui peningkatan kesedaran pencegahan strok berulang serta SDG 4: Pendidikan Berkualiti menerusi penyampaian ilmu kesihatan yang praktikal, mudah difahami dan boleh digunakan dalam kehidupan.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektifnya dengan menggabungkan pendidikan kesihatan berasaskan bukti, pelibatan aktif komuniti dan pemulihan berstruktur, sekali gus wajar diteruskan sebagai usaha menyokong kesejahteraan serta kualiti hidup pesakit strok di Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi