Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Klinik Terapi Cara Kerja, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus komited memperkasakan komuniti dengan memastikan pendidikan dan sokongan intervensi awal bagi kanak-kanak berkeperluan khas tidak terhenti di bilik terapi semata-mata menerusi penganjuran Majlis Konvokesyen Program WHO–CST dan OT–EIP 2025 di Dewan Kuliah 2, UKM Kampus Kuala Lumpur.
Majlis tersebut meraikan kejayaan 50 orang peserta yang terdiri daripada ibu bapa, penjaga dan anak-anak istimewa yang berjaya menamatkan modul latihan masing-masing sepanjang tahun 2025 di Klinik Terapi Cara Kerja, FSK, UKM.
Para graduan merupakan peserta daripada dua inisiatif klinikal utama, iaitu WHO-Caregiver Skills Training (WHO–CST) bagi Kohort 4 dan Kohort 5 serta Occupational Therapy–Early Intervention Programme (OT–EIP) bagi Kohort 2 dan Kohort 3.
Dekan FSK, UKM, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar dalam ucapannya menegaskan bahawa penganjuran majlis itu membuktikan peranan universiti bukan sekadar menjadi “menara gading”, sebaliknya turun ke lapangan untuk memberikan impak nyata kepada masyarakat.
Ujarnya,
Program ini secara langsung menyokong teras kelima dalam Pelan Strategik UKM 2018–2028, iaitu Community Engagement and Outreach bagi memastikan ilmu yang dijana di universiti dapat dimanfaatkan oleh keluarga yang memerlukan sokongan intervensi awal.
Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap kesungguhan para ibu bapa yang menuntut ilmu demi masa hadapan anak-anak serta berharap pengetahuan yang diperoleh dapat dimanfaatkan agar kanak-kanak membesar dengan potensi yang optimum.
Beliau juga berpandangan bahawa pelaksanaan program seumpama ini sewajarnya dilaksanakan pada masa hadapan bagi memastikan tiada kanak-kanak yang tercicir daripada menerima sokongan perkembangan yang sewajarnya.
Program WHO–CST dan OT–EIP dirangka khusus untuk melengkapkan ibu bapa dengan ilmu serta kemahiran penjagaan terapeutik di rumah melalui pendekatan berpusatkan keluarga.
Modul WHO–CST yang diadaptasi daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberikan tumpuan kepada latihan kemahiran penjaga bagi kanak-kanak yang mengalami kelewatan perkembangan, manakala OT–EIP menumpukan intervensi awal untuk merangsang perkembangan optimum kanak-kanak.
Kedua-dua program turut menerapkan pendekatan “seluruh keluarga” yang memperkasakan ibu bapa sebagai agen utama intervensi, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG), khususnya SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan Baik) dan SDG 4 (Pendidikan Berkualiti).
Kejayaan majlis konvokesyen itu turut disokong dengan kerjasama strategik bersama-sama rakan industri apabila sumbangan daripada GNT MediXcel membantu melancarkan perjalanan program.
Majlis tersebut bukan sahaja menjadi pengiktirafan kepada para peserta, malah berperanan sebagai platform untuk membina rangkaian sokongan sosial yang lebih kukuh antara keluarga kanak-kanak istimewa, para klinisian dengan pihak universiti.
Program diakhiri dengan sesi penyampaian sijil kepada para peserta sebagai simbol ketabahan dan komitmen tinggi mereka sepanjang mengikuti modul latihan yang intensif.

