Diterbitkan pada 21 Januari 2026, 11:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau — Keamanan maritim merupakan komponen kritikal dalam pengurusan perairan negara kerana berkait secara langsung dengan perlindungan kedaulatan, kelestarian ekosistem marin serta kesinambungan sumber ekonomi berasaskan laut.

Menurut YBrs. Ts. Zamzila Erdawati Zainol, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan, Unit Teknologi Marin Lestari yang juga penyelaras UiTM Green Center, keselamatan perairan perlu ditangani melalui pendekatan bersepadu yang menggabungkan penguatkuasaan, pemantauan saintifik dan pendidikan awam.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual bersempena dengan Program Kesedaran Keamanan Maritim 2026 (PKKM2026) yang dianjurkan bagi meningkatkan literasi mahasiswa terhadap peranan penguatkuasaan maritim dalam mengawal selia aktiviti perairan serta meminimumkan ancaman terhadap alam sekitar marin.

Beliau berkata,

Ancaman terhadap keamanan maritim masa kini bersifat multidimensi, melibatkan pencerobohan perairan, aktiviti penyeludupan, penangkapan ikan secara haram, pencemaran laut serta gangguan terhadap habitat sensitif seperti terumbu karang dan ekosistem bakau.

Tambah beliau,

Kegagalan mengawal aktiviti ini bukan sahaja menjejaskan biodiversiti marin, malah boleh mengganggu rantaian makanan, merosakkan stok perikanan dan meningkatkan risiko bencana alam di kawasan pesisir.

Dalam konteks tersebut, Agensi Penguatkuasaan Maritim Negara (APMM), Jabatan Laut dan Pasukan Gerakan Marin memainkan peranan penting melalui operasi rondaan, penguatkuasaan undang-undang, pemantauan zon maritim serta tindak balas kecemasan, khususnya dalam menangani insiden pencemaran dan kemalangan laut.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa keberkesanan penguatkuasaan perlu disokong oleh pematuhan dan kesedaran masyarakat yang tinggi, terutamanya komuniti pesisir dan pengguna perairan.

PKKM2026 dianjurkan oleh Fakulti Sains Gunaan melalui Unit Teknologi Marin Lestari yang bertujuan untuk meneroka dan memupuk bakat seni serta kreativiti pelajar, sejajar dengan usaha menyeimbangkan penguasaan bidang keselamatan maritim dan kesedaran terhadap kelestarian perairan negara.

Secara keseluruhannya, program ini menggabungkan skop keselamatan maritim, sains dan pendidikan awam bagi memastikan perairan negara kekal selamat, produktif dan lestari untuk generasi akan datang.

Kredit Foto: UiTM Cawangan Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi