Diterbitkan pada 19 Januari 2026, 15:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling atau Environmental Impact Assessment (EIA) terus menjadi instrumen penting dalam memastikan kelestarian ekosistem marin dan pesisiran pantai negara, khususnya dalam mendepani tekanan pembangunan pesat yang berpotensi menjejaskan biodiversiti dan keseimbangan alam sekitar.

Menurut Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perlis, YBrs. Tuan Jamal Affendy Shahar, JAS memainkan peranan strategik dalam pelaksanaan EIA sebagai mekanisme kawalan pembangunan yang komprehensif, bermula seawal peringkat perancangan projek sehingga fasa pelaksanaan.

Menurut beliau,

EIA bukan sekadar keperluan perundangan, sebaliknya satu proses penting bagi merangka, meneliti dan menganalisis dokumen, laporan serta program pembangunan agar lebih cekap, berkesan dan responsif terhadap keperluan alam sekitar, selari dengan komitmen negara terhadap agenda Pembangunan Lestari.

Beliau turut menjelaskan bahawa melalui EIA, JAS memastikan aktiviti yang ditetapkan dikawal secara sistematik bagi mengelakkan kesan negatif terhadap kualiti air laut, habitat marin, zon pesisiran pantai dan sumber perikanan yang menjadi nadi kehidupan komuniti setempat.

YBrs. Tuan Jamal Affendy Shahar menyampaikan taklimat di Bilik Mesyuarat JAS Negeri Perlis.

Tambah beliau, proses EIA dipandu oleh beberapa prinsip utama, antaranya pembangunan yang bersesuaian dengan alam semula jadi, pendekatan proaktif, ketelusan, kredibiliti, keberkesanan kos, praktikal, akauntabiliti sosial, pelibatan menyeluruh pihak berkepentingan serta penekanan terhadap kelestarian jangka panjang.

Mengulas mengenai Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling) 2015, beliau menjelaskan bahawa terdapat dua jadual utama yang menjadi rujukan.

Aktiviti dalam Jadual Pertama tidak memerlukan pameran dan ulasan awam kecuali diarahkan sebaliknya secara bertulis oleh Ketua Pengarah JAS, manakala aktiviti dalam Jadual Kedua mewajibkan pameran awam dan pelibatan masyarakat bagi memastikan ketelusan serta penerimaan sosial terhadap projek yang dicadangkan.

Antara aktiviti yang sering dipantau oleh JAS termasuklah perikanan, pelabuhan, petroleum, pembangunan kawasan pantai, pertanian, saliran dan pengaliran, perhutanan, industri dan perlombongan.

Beliau turut menegaskan bahawa kegagalan melaksanakan EIA bagi projek yang ditetapkan boleh membawa implikasi yang serius, termasuk kerosakan habitat marin, pencemaran perairan pantai, kehilangan biodiversiti, konflik sosial dengan komuniti setempat serta tindakan perundangan ke atas penggerak projek.

Pada jangka masa panjang, ketiadaan EIA boleh menjejaskan daya tahan ekosistem pesisir pantai dan menafikan manfaat pembangunan yang mampan.

Jelasnya,

EIA ialah benteng awal bagi memastikan pembangunan tidak mengorbankan alam sekitar. Tanpa EIA, risiko terhadap ekosistem marin dan pesisiran pantai menjadi tinggi dan kesannya mungkin bersifat kekal.

Sehubungan dengan itu, JAS menyeru semua pihak termasuk penggerak projek, agensi teknikal dan masyarakat untuk memahami serta menghormati kepentingan EIA sebagai instrumen utama dalam melindungi warisan alam negara demi kesejahteraan generasi kini dan akan datang.

Dalam masa yang sama, JAS turut menjalankan pemantauan berkala terhadap kualiti air marin berdasarkan Malaysian Marine Water Quality Standards (MMWQS) bagi memastikan ekosistem laut kekal sihat.

Pemantauan ini merangkumi beberapa parameter penting seperti oksigen terlarut yang diperlukan oleh hidupan marin, nutrien termasuk fosfat, ammonia dan nitrat, selain jumlah pepejal terampai serta kehadiran faecal coliform yang boleh menjejaskan kualiti perairan.

Menurut beliau lagi, kualiti air marin di Perlis banyak dipengaruhi oleh jumlah pepejal terampai yang tinggi di kawasan pesisiran pantai, khususnya disebabkan oleh struktur dasar laut yang berselut, sekali gus menjadikan perairan ini lebih sensitif terhadap gangguan aktiviti pembangunan dan perubahan persekitaran.

Beliau berkongsi ilmu pengetahuan sempena lawatan akademik oleh para pelajar ijazah Program Teknologi Marin Lestari (MARTECH) dan Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Perlis ke Jabatan Alam Sekitar Negeri Perlis, Kangar.

Kementarian Pendidikan Tinggi  amat menyokong agar agensi dan institusi pengajian tinggi terus memperkukuh perkongsian maklumat bagi melahirkan graduan yang cemerlang, berdaya saing dan peka terhadap kelestarian alam sekitar.

Kredit Foto: MARTECH
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi