Diterbitkan pada 3 Mac 2022, 15:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) telah melancarkan Program Rintis Sandbox Digital IoT (Sandbox IoT) yang pertama di Borneo dan kelapan di Malaysia. Program ini bertujuan untuk merancakkan pembangunan inovasi serta menggalakkan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI).

Sandbox IoT dijangka menggalakkan pembabitan belia untuk menguji idea teknologi baharu yang dapat memacu ekonomi negeri, meningkatkan produktiviti sektor awam dan swasta serta secara langsung menggalakkan pembudayaan STI, selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Menurut Menteri MOSTI, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Adham Baba, percambahan aplikasi IoT dalam industri di Sabah dijangka bakal menyumbang sebanyak RM9.8 bilion kepada pendapatan negara menjelang tahun 2025.

Sandbox IoT akan bertindak sebagai pusat bersepadu untuk penyelesaian berasaskan IoT yang dilengkapi dengan perkhidmatan dan kemudahan sokongan seperti ujian kebolehoperasian dan pembangunan produk serta perkhidmatan IoT. Usaha pendigitalan ini akan memberikan manfaat kepada sektor seperti perkhidmatan, pertanian, perlombongan, dan pelancongan.

Tambah beliau lagi, antara impak awal yang disasarkan terhadap Sandbox IoT ini ialah pembangunan 20 proof-of-concept melalui pelaksanaan 50 program pembangunan kapasiti yang melibatkan masyarakat setempat. Penggunaan aplikasi IoT juga adalah selaras dengan inisiatif kerajaan pusat untuk menerima pakai Revolusi Industri 4.0 dalam pelbagai sektor utama di seluruh negara.

Menteri KSTI, Yang Berhormat Datuk Haji Yakub Khan pula menyatakan bahawa pelancaran program tersebut merupakan sebahagian daripada pengisian menerusi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya dalam menggalakkan pembudayaan sains, teknologi dan inovasi dalam kalangan masyarakat.

Sandbox IoT ini akan menjadi platform kepada usahawan digital untuk menghasilkan dan menguji produk yang dihasilkan sebelum digunakan.

Majlis pelancaran Sandbox IoT telah disempurnakan pada 1 Mac 2022 oleh Menteri KSTI. Majlis tersebut juga turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman antara KSTI dengan Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah serta KSTI dengan Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI).

Kerjasama antara MRANTI dengan KSTI akan menumpukan sokongan pengkomersialan kepada pengamal teknologi tempatan, dan seterusnya menjana peluang ekonomi baharu untuk rakyat Sabah dengan mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha MOSTI, Yang Berbahagia Datuk Zainal Abidin Abu Hassan.

(Sumber: Facebook KSTI)

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi