Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Penggunaan peralatan perikanan yang tidak terkawal seperti bubu naga dan sangkar tangguk siput dikenal pasti sebagai antara ancaman utama terhadap kelestarian ekosistem marin dan biodiversiti laut, terutamanya apabila digunakan secara haram dan tidak mematuhi peruntukan di bawah Akta Perikanan 1985.
Menurut Leftenan Madya Maritim Mohamad Imran Hamedin, Pegawai Operasi (C3i), Zon Maritim Kuala Perlis, penggunaan bubu naga dan sangkar tangguk siput secara berleluasa bukan sahaja menjejaskan hasil tangkapan nelayan pada masa hadapan, malah turut menyebabkan kerosakan serius terhadap habitat marin, khususnya di kawasan perairan cetek dan berhampiran pesisir pantai.
Jelas beliau,
Bubu naga yang dipasang tanpa kawalan boleh memerangkap bukan sahaja ikan dewasa, tetapi juga benih ikan, krustasea kecil dan hidupan marin juvenil. Keadaan ini mengganggu proses pembiakan semula jadi dan akhirnya mengurangkan stok perikanan negara.

Beliau turut menegaskan bahawa sangkar tangguk siput yang digunakan secara tidak sah boleh memberikan impak besar terhadap ekosistem dasar laut.
Struktur sangkar yang diletakkan dalam tempoh yang lama berpotensi merosakkan dasar perairan, memusnahkan kawasan pembiakan organisma marin serta menjejaskan habitat penting seperti rumpai laut dan bentos yang berperanan dalam rantaian makanan marin.

Selain itu, penggunaan bubu naga dan sangkar tangguk siput yang tidak mengikut spesifikasi dibenarkan turut meningkatkan risiko tangkapan tidak selektif, menyebabkan kematian hidupan marin yang tidak bernilai komersial, namun penting dari sudut keseimbangan ekosistem.
Kesan kumulatif ini boleh mengakibatkan penurunan biodiversiti marin dan perubahan struktur komuniti organisma laut dalam jangka panjang.
Sehubungan itu, Akta Perikanan 1985 memainkan peranan penting dalam mengawal selia penggunaan peralatan perikanan agar tidak merosakkan alam sekitar marin.
Akta ini bertujuan untuk memastikan aktiviti perikanan dijalankan secara mampan serta melindungi sumber laut daripada eksploitasi berlebihan demi kesejahteraan generasi akan datang.

Dalam usaha membanteras aktiviti perikanan haram, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa komited mengawal pelbagai jenayah rentas sempadan di perairan negara, termasuk aktiviti perikanan haram, selain isu pelanunan, rompakan laut, perdagangan manusia, penyeludupan migran, pencemaran maritim, gangguan penguatkuasaan asing serta penyeludupan dadah, senjata dan barangan terlarang.

Bagi tujuan penguatkuasaan, APMM Zon Maritim Kuala Perlis menggunakan pelbagai peruntukan undang-undang termasuklah Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen, Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Senjata Api 1971, Kanun Tanah Negara (Akta 828), Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.
Di perairan zon maritim Malaysia, APMM terus menguatkuasakan undang-undang Persekutuan dengan melaksanakan tugas carilamat maritim, mencegah dan menyekat kesalahan di laut, menjalankan pengawasan udara dan pantai, menyediakan perkhidmatan pelantar serta sokongan kepada agensi berkaitan, di samping menubuhkan dan mengurus institusi latihan maritim bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan perairan negara.

Di kawasan laut lepas pula, APMM kekal bertekad melaksanakan tugas carilamat maritim, pengawalan dan pencegahan pencemaran maritim, pencegahan serta penyekatan pelanunan, selain membanteras pengedaran haram dadah narkotik di perairan antarabangsa.
Dari sudut teknologi, APMM turut mengguna pakai Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) yang berfungsi mengesan, menganalisis dan menyalurkan maklumat aktiviti maritim secara berkesan kepada aset penguatkuasaan di laut.
Penggunaan teknologi ini membolehkan pemantauan perairan negara dilakukan secara lebih sistematik dan bersepadu.
Usaha berterusan ini sekali gus mencerminkan komitmen APMM dalam melindungi kelestarian sumber marin, di samping meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kesan negatif penggunaan bubu naga dan sangkar tangguk siput terhadap biodiversiti marin sekiranya tidak dikawal dengan tegas.