Diterbitkan pada 15 Januari 2026, 14:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu telah menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Setiausaha bagi Perdagangan dan Hal Ehwal Pertanian Luar Negeri, Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA), Luke J. Lindberg bersempena dengan misi perdagangan Amerika Syarikat ke Malaysia yang berlangsung dari 14  Januari 2026 hingga 15 Januari 2026.

Pertemuan tersebut turut disertai oleh Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT), Edgard D. Kagan.

Menurut kenyataan KPKM, perbincangan antara kedua-dua pihak menumpukan kepada potensi peluasan perdagangan pertanian dua hala serta pemerkasaan kerjasama teknikal dan pelaburan bagi meningkatkan produktiviti sektor pertanian.

Antara bidang lain yang diberikan penekanan termasuklah penggunaan mekanisasi dan automasi, teknologi digital, pembangunan pertanian pintar, penambahbaikan varieti benih serta penerapan teknologi Internet of Things (IoT).

Dalam kenyataan tersebut, KPKM turut menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan USDA dalam usaha memodenkan pengeluaran jagung bijirin bagi kegunaan makanan ternakan, di samping memperkukuh keupayaan pengeluaran sektor agromakanan negara melalui penerapan teknologi moden.

KPKM memaklumkan bahawa mesyuarat itu turut membincangkan lawatan kerja pegawai KPKM ke AS yang melibatkan penyertaan wakil Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Pertanian mulai 17 Januari 2026 hingga 24 Januari 2026 bagi mempertingkatkan kerjasama kedua-dua negara dalam aspek sanitari dan fitosanitari.

Menurut KPKM lagi, hasil perdagangan pertanian Malaysia dan AS mencecah RM14.68 bilion bagi tempoh bulan Januari hingga September 2025, sekali gus mencerminkan peranan AS sebagai rakan strategik penting Malaysia dalam rantaian bekalan makanan global.

Hadir sama dalam sesi lawatan tersebut termasuklah Ketua Setiausaha  KPKM, YBhg.Datuk Seri Isham Ishak; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), KPKM, YBhg. Dato’ Sri Norazman Ayob dan Ketua Pengarah Pertanian, YBhg. Dato’ Nor Sam Alwi.

Kredit Foto: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi