Diterbitkan pada 13 Januari 2026, 09:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Wuxi – Empat orang pelajar Malaysia berjaya mengharumkan nama negara apabila memenangi Best Presence Award dan Best Spirit Award dalam World Robot Contest Final (WRCF) 2025 yang berlangsung di Wuxi, China.

Pencapaian yang membanggakan tersebut diraih oleh dua orang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Semambu, Pahang dan dua orang pelajar dari Sekolah Kebangsaan Long Boh, Perlis yang menyertai pertandingan dron pada peringkat antarabangsa.

Keempat-empat orang pelajar ini merupakan juara bagi acara G-SKY Malaysia Techlympics 2025 Peringkat Akhir Kebangsaan yang diadakan di Melaka International Trade Centre, Melaka pada November tahun lalu, sekali gus melayakkan mereka mewakili Malaysia untuk menyertai pertandingan dron di China.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama-sama Bioeconomy Corporation Malaysia serta rakan pelaksana Program Malaysia Techlympics 2025 bertanggungjawab mengiringi kesemua pelajar berkenaan ke pertandingan yang berprestij ini.

WRCF 2025 dianjurkan oleh China Institute of Electronics di bawah Ministry of Industry and Information Technology, China yang menguji kebolehan para peserta dalam mengatur cara dan mengawal dron secara manual melalui laluan yang penuh dengan halangan.

Sepanjang pertandingan, wakil Malaysia menunjukkan profesionalisme, ketenangan serta semangat kesukanan yang tinggi, sekali gus berjaya menarik perhatian pihak penganjur sehingga dianugerahkan dua pengiktirafan istimewa.

Kejayaan ini membuktikan bahawa pelajar Malaysia mampu bersaing pada peringkat antarabangsa dalam bidang teknologi dan inovasi serta mencerminkan semangat juang yang tinggi, disiplin dan kerjasama pasukan yang kuat dalam kalangan generasi muda.

Pelibatan dalam pertandingan antarabangsa tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan MOSTI untuk melahirkan bakat muda dalam bidang sains dan teknologi, selaras dengan hasrat kerajaan membangunkan ekosistem sains, teknologi dan inovasi negara yang lebih kukuh pada masa hadapan.

Kredit Foto: Facebook MOSTI
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi