Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Isu perairan cetek dan pembentukan beting pasir yang menjejaskan operasi feri di Terminal Feri Kuala Perlis menjadi antara pendedahan utama kepada 35 orang mahasiswa Program Teknologi Marin Lestari (MARTECH), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis terhadap kepentingan pengurusan marin yang mampan menerusi lawatan ilmiah ke Pejabat Laut Negeri Perlis.

Penolong Pegawai Laut, Encik Muhd Khairul Azhar Yacob berkata, cabaran fizikal perairan seperti paras air laut yang cetek dan kehadiran beting pasir memberikan implikasi besar terhadap keselamatan serta kelancaran operasi feri.
Katanya,
Terdapat situasi feri terkandas di Terminal Feri Kuala Perlis apabila kapal tersangkut pada beting pasir, khususnya ketika paras air laut berada pada tahap rendah, sekali gus memerlukan pemantauan berterusan dan pendekatan pengurusan marin yang mampan, termasuklah aspek hidrografi, penyelenggaraan laluan pelayaran dan perancangan operasi.

Menurutnya, isu tersebut menunjukkan bahawa pengurusan marin bukan hanya melibatkan peraturan, tetapi juga kefahaman saintifik terhadap dinamik perairan pantai.
Beliau turut menerangkan peranan Jabatan Laut Malaysia sebagai agensi di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia yang bertanggungjawab mentadbir urusan perkapalan, pelabuhan dan keselamatan pelayaran.
“Objektif Jabatan Laut Malaysia adalah untuk memastikan sistem pengangkutan maritim negara beroperasi secara selamat, sistematik dan menyokong perlindungan persekitaran marin,” katanya.
Dalam sesi taklimat tersebut, beliau turut menyentuh aspek penguatkuasaan undang-undang maritim di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (OPS 1952) sebagai sebahagian daripada usaha memastikan kelestarian sektor maritim.
Ujarnya,
Kegagalan memaklumkan perubahan dalam sijil pendaftaran kapal dalam tempoh 14 hari boleh dikenakan denda hingga RM5000, manakala penggunaan sijil pendaftaran palsu boleh mencecah denda sebanyak RM10,000.
Beliau juga menegaskan bahawa pematuhan undang-undang merupakan komponen penting dalam memastikan pengurusan marin dilaksanakan secara berdisiplin dan berkesan.
“Penguatkuasaan ini bertujuan untuk melindungi keselamatan pelayaran serta mengelakkan risiko terhadap alam sekitar laut,” tambahnya.
Sementara itu, mahasiswa MARTECH, UiTM Cawangan Perlis, Encik Irfan Fathi Zul Faqar berkata, lawatan tersebut membuka perspektif baharu terhadap realiti pengurusan maritim di lapangan.
“Kami dapat melihat faktor semula jadi seperti perairan cetek dan beting pasir memberikan kesan langsung kepada operasi feri, sekali gus menuntut penyelesaian berasaskan sains dan pengurusan marin yang mampan,” katanya.
Seorang lagi mahasiswa, Encik Ahmad Syauqi Atif Saharuddin pula berpendapat bahawa pendedahan tersebut membantu menghubungkan teori akademik dengan cabaran sebenar industri maritim.
Kongsinya,
Lawatan ini mengukuhkan kefahaman saya bahawa pengurusan marin yang mampan memerlukan gabungan pengetahuan teknikal, perundangan dan pemahaman ekosistem pantai.
Lawatan tersebut turut memberikan peluang kepada mahasiswa MARTECH, UiTM Cawangan Perlis untuk melihat secara langsung operasi kapal Ro-Ro yang mengangkut penumpang dan kenderaan ke Pulau Langkawi, sekali gus memahami aspek reka bentuk, keselamatan dan kecekapan sistem pengangkutan marin.

Selain taklimat berkaitan dengan pengurusan marin, mereka turut diberikan penerangan tentang teknikal mengenai sistem enjin kapal Ro-Ro yang merangkumi fungsi enjin utama, aspek kecekapan bahan api serta kepentingan penyelenggaraan bagi memastikan operasi pengangkutan marin yang selamat.
Lawatan tersebut turut diiringi oleh Pembantu Laut Kanan, Encik Muhamad Najib Mohd Arif dan Pembantu Laut, Encik Mohd Alwi Yaacob.

Kementerian Pendidikan Tinggi menyokong kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi dengan agensi kerajaan dalam memperkaya pengalaman pembelajaran berasaskan dunia sebenar.
Pendekatan ini adalah selari dengan usaha melahirkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan, malah mampu menyumbang kepada penyelesaian isu maritim dan alam sekitar secara mampan.