Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMelaka – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) terus giat melaksanakan inisiatif memperkasakan komuniti melalui pengoperasian Ruang Daya Cipta (RDC) di Melaka.
Menurut MOSTI dalam satu kenyataan, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada strategi nasional yang digariskan bagi meningkatkan kesedaran, pemahaman dan penerapan elemen sains, teknologi dan inovasi (STI) dalam kalangan masyarakat, khususnya individu yang berada di kawasan luar bandar.
Ujar MOSTI,
RDC berperanan sebagai platform komuniti yang menyediakan akses kepada kemudahan, peralatan dan latihan yang berkaitan dengan bidang STI, sekali gus memberikan peluang kepada masyarakat tempatan untuk mengembangkan potensi daya cipta dan membangunkan penyelesaian inovatif yang relevan.
Tambahnya, sebanyak 23 buah RDC telah dibangunkan di seluruh negara, iaitu empat buah RDC di Sabah dan Johor; dua masing-masing di Pahang, Sarawak, Kelantan, Selangor dan Perak serta sebuah masing-masing di Negeri Sembilan, Terengganu, Kedah, Kuala Lumpur dan Melaka.
MOSTI berkata, RDC Melaka yang telah siap dibangunkan pada Mac 2025 dilengkapi dengan pelbagai kemudahan teknologi seperti komputer, pencetak tiga dimensi dan studio digital bagi menyokong pembangunan kemahiran teknologi dan kreativiti dalam kalangan komuniti setempat.
Katanya,
Pembinaan pusat ini sebagai jalinan sinergi antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Melaka, selaras dengan pelaksanaan Dasar Inovasi Sosial yang menekankan pembinaan ekosistem STI yang inklusif dan memberikan manfaat secara langsung kepada masyarakat.
RDC Melaka dijangka memberikan impak positif yang besar kepada komuniti di sekitar negeri itu, khususnya dalam usaha memperkasakan ilmu pengetahuan dan kemahiran berkaitan dengan teknologi dan inovasi.
RDC turut berfungsi sebagai platform untuk mencetuskan dan membangunkan idea baharu yang berpotensi untuk dikomersialkan dan seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan.
Pendekatan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam membina ekosistem inovasi sosial yang mampan, inklusif dan berdaya saing, seiring dengan aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.
MOSTI juga berkata, YIM memainkan peranan penting dalam merakyatkan inovasi kepada komuniti setempat yang dibuktikan dengan pelbagai program RDC di seluruh negara secara inklusif, sekali gus membolehkan penduduk sekitar menerima manfaat dan akses secara langsung kepada STI.
Dengan penambahbaikan pembelajaran dan Modul Latihan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi, RDC akan terus berkembang sebagai pusat kecemerlangan inovasi pada masa hadapan serta memacu pelibatan masyarakat dalam inovasi dengan menyediakan akses teknologi moden serta meningkatkan taraf hidup dan memperkukuh ekonomi berasaskan teknologi.