Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangHutan paya laut atau lebih dikenali sebagai hutan paya bakau merupakan ekosistem hutan yang amat penting dan dinamik. Hutan ini bertapak di zon kritikal pertemuan antara daratan dengan lautan, iaitu di kawasan pesisir pantai, muara sungai dan lagun yang mengalami fenomena air pasang dan surut setiap hari. Walaupun ekosistemnya rapuh dan kritikal, namun hutan ini berfungsi sebagai satu infrastruktur hijau yang menyediakan benteng semula jadi terhadap hakisan, ribut dan impak peningkatan aras laut, selain turut menyokong biodiversiti dan sekuriti makanan komuniti setempat.

Namun demikian, peranan sebagai lapisan pelindung pesisir pantai kini semakin terancam akibat pelbagai tekanan antropogenik, terutamanya melalui aktiviti perubahan guna tanah dan pembangunan kawasan pesisir pantai. Aktiviti penukaran kawasan bakau kepada kolam akuakultur bagi ternakan udang, pembinaan infrastruktur perumahan, pelabuhan dan jalan raya menyebabkan pencerobohan di zon pesisiran pantai dan mengganggu keseimbangan hidrologi hutan sekiranya tidak dirancang secara menyeluruh.
Pembinaan benteng atau penambakan tanah biasanya dilakukan untuk mewujudkan struktur fizikal yang berfungsi memisahkan aktiviti manusia daripada kesan air laut. Walau bagaimanapun, hal ini sangat bertentangan dengan prinsip alami hutan paya laut yang memerlukan pengaruh pasang dan surut air laut setiap hari. Mana-mana dirian pokok bakau yang terkesan dengan perubahan pasang surut air laut akan menyebabkannya mengalami tekanan fisiologi dan akhirnya mati. Regenerasi secara semula jadi juga hampir tidak berlaku.
Kematian pokok bakau dan spesies lain dalam skala yang besar akan menyebabkan kawasan hutan paya laut mengalami kemerosotan dan seterusnya kehilangan kapasiti semula jadinya untuk berfungsi sebagai pelindung pantai. Oleh itu, pengurusan pembangunan kawasan pesisir yang lestari dan pemulihan serta pemeliharaan hidrologi perlu diutamakan untuk memastikan hutan paya laut dapat memainkan peranannya sebagai perisai hijau yang kritikal.

Penyelesaian Berasaskan Alam Semula Jadi
Seluruh dunia termasuklah Malaysia, kini berdepan dengan ancaman perubahan iklim yang boleh menjejaskan kelangsungan hidup manusia jika tidak ditangani segera. Sehubungan dengan itu, konsep Penyelesaian Berasaskan Alam Semula Jadi (NbS) muncul sebagai pendekatan yang pragmatik, lestari, ekonomi dan berasaskan sains dalam menangani cabaran ini.
NbS merujuk pendekatan pembangunan dan pengurusan sumber semula jadi yang memanfaatkan proses serta fungsi ekologi untuk menyelesaikan isu persekitaran dan sosial. Secara asasnya, NbS menekankan usaha memulihara, memelihara dan mengurus ekosistem secara mampan. Dalam konteks ini, ekosistem bukan sahaja dilindungi, malah diiktiraf sebagai infrastruktur hijau yang dapat memberikan perlindungan semula jadi. Sebagai contoh, hutan paya laut mengurangkan hakisan pantai, menyerap tenaga ombak dan melindungi komuniti pesisir daripada angin kuat dan peningkatan aras laut.
Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) selaku agensi penyelidikan yang menjalankan kajian saintifik berkaitan dengan isu perhutanan, khususnya berkaitan dengan hutan tropika tidak terlepas daripada menjalankan kajian yang berkonsepkan NbS. Dengan menyedari akan kepentingan ekosistem hutan paya laut di Malaysia, FRIM telah melaksanakan inisiatif pemulihan kawasan hutan paya laut terosot di Hutan Simpan Kuala Linggi, Melaka. Projek ini bukan sekadar melibatkan penanaman pokok bakau, tetapi pendekatan holistik berasaskan NbS yang bertujuan untuk memulihkan fungsi ekologi kawasan yang terganggu melalui intervensi fizikal dan biologi yang strategik.
Komponen Utama NbS
Pemulihan Hidrologi
Penilaian hidrologi merupakan langkah pertama sebelum penanaman dijalankan. Jika hidrologi dikenal pasti sebagai punca utama kemerosotan ekosistem, pemulihan struktur hidrologi perlu dilakukan terlebih dahulu.
Dalam kajian di Kuala Linggi, kawasan terosot dikenal pasti mengalami masalah air bertakung serta tidak menerima pasang surut secara semula jadi. Untuk mengatasi isu ini, sistem saliran baharu dibina bagi menghubungkan kawasan terosot dengan Sungai Linggi. Pembinaan dilaksanakan dengan menggunakan tenaga manusia sepenuhnya tanpa jentera berat untuk mengelakkan kerosakan tambahan pada hutan bakau sedia ada.
Sistem saliran pula bertujuan untuk memulihkan rejim pasang surut yang normal, menstabilkan struktur lumpur serta menyediakan persekitaran kondusif untuk anak pokok bakau hidup dan tumbuh dengan baik.


Teknik Penanaman Adaptif
Penanaman dijalankan pada September 2024 di kawasan seluas 0.08 hektar melibatkan 810 anak pokok bakau. Kawasan tersebut sangat kritikal kerana air akan bertakung ketika hujan, manakala ketika cuaca panas, tanah menjadi terlalu kering sehingga merekah. Oleh itu, teknik penanaman konvensional sahaja tidak mencukupi. Yang berikut merupakan tiga teknik penanaman yang diuji sebagai pendekatan adaptif terhadap ketidakstabilan tapak.
Teknik Comp–pillow – Penyelesaian kejuruteraan bio yang menggunakan jaring dan sabut kelapa sebagai perlindungan tambahan kepada anak pokok.
Teknik busut – Bentuk NbS yang meniru topografi mikro semula jadi. Pokok ditanam di atas busut tanah setinggi lebih kurang 30 sentimeter untuk mengurangkan risiko tenggelam serta menstabilkan akar.
Teknik konvensional – Penanaman terus ke tanah sebagai kaedah kawalan.


Penilaian Keberkesanan Kajian
Hasil pemantauan menunjukkan bahawa walaupun teknik konvensional memberikan kemandirian awal yang tinggi, iaitu sebanyak 98 peratus, namun teknik busut menunjukkan kestabilan terbaik dalam jangka masa panjang dengan 85 peratus kadar kemandirian pada Julai 2025. Hal ini membuktikan bahawa pemilihan teknik yang sesuai dengan keadaan tapak merupakan pendekatan NbS yang paling efektif dalam menghadapi cabaran hidrologi dan ketidakstabilan substrat.
Jadual 1 Kadar kemandirian mengikut teknik penanaman.
| Teknik Penanaman | Kadar Kemandirian | |||
| September 2024 | November 2024 |
Mac 2025 | Julai 2025 | |
| Comp-pillow | 100% | 84% | 77% | 66% |
| Busut | 100% | 94% | 93% | 85% |
| Konvensional | 100% | 98% | 98% | 81% |
Pemilihan Spesies
Rhizophora mucronata (bakau kurap) merupakan spesies yang paling berdaya tahan dengan kadar kemandirian 89 peratus. Spesies ini juga menunjukkan pertumbuhan diameter pangkal dan tinggi yang paling ketara berbanding dengan Rhizophora apiculata (bakau minyak) yang kemandiriannya sebanyak 76 peratus, manakala Rhizophora stylosa (bakau pasir) dengan 81 peratus kemandirian.
Jadual 2 Kadar kemandirian mengikut spesies.
| Spesies | Kadar Kemandirian | |||
| September 2024 | November2024 | Mac 2025 | Julai 2025 | |
| Rhizophora apiculata | 100% | 90% | 88% | 76% |
| Rhizophora mucronata | 100% | 95% | 92% | 89% |
| Rhizophora stylosa | 100% | 90% | 87% | 81% |
Seperti projek pemulihan bakau yang lain, kadar kemandirian biasanya menurun selepas penanaman akibat faktor arus, sedimen, paras air pasang dan interaksi antara spesies dengan tapak penanaman. Hasil kajian awal ini mengesahkan bahawa tiada pendekatan yang sesuai untuk semua keadaan dan setiap kawasan perlu diurus mengikut ciri tapaknya.
Kejayaan pemulihan hutan paya laut di Kuala Linggi bergantung pada gabungan pembaikan hidrologi dan penggunaan teknik penanaman yang sesuai dengan keadaan topografi seperti kaedah busut. Pendekatan ini membantu mengurangkan risiko kegagalan penanaman di kawasan yang menghadapi masalah saliran dan struktur tanah yang terganggu. Pemilihan spesies turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan kemandirian pokok bakau. Walau bagaimanapun, kajian lanjut masih diperlukan untuk memahami hubungan antara spesies dengan struktur tanah di sesuatu kawasan.
Kesimpulannya, projek di Hutan Simpan Kuala Linggi membuktikan bahawa pemulihan hutan paya laut terosot memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh dan bukan sekadar menanam pokok. Usaha ini perlu dilaksanakan berasaskan prinsip NbS, yakni dengan memahami punca gangguan ekosistem, memulihkan proses hidrologi semula jadi serta memilih teknik penanaman dan spesies yang sesuai mengikut keadaan kawasan kajian.
