Diterbitkan pada 28 November 2025, 15:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pokok kayu keras seperti cengal, keruing dan meranti bukan sahaja menjadi sumber bahan produk kayu yang penting, malah merupakan nadi kepada keseimbangan ekosistem hutan tropika. Di sebalik keindahan batangnya yang kukuh dan berurat halus, tersembunyi proses biologi yang menakjubkan, yakni cara sebatang anak pokok yang kecil mampu membesar menjadi pohon gergasi yang menghasilkan kayu bernilai tinggi.

Pertumbuhan Pokok: Daripada Anak Benih kepada Pohon Dewasa

Meristem membahagi sel dan berupaya menghasilkan tisu kayu baharu.

Secara umumnya, terdapat dua proses utama pertumbuhan pokok yang melibatkan tisu meristem. Tisu ini berupaya membahagi sel untuk pembentukan tisu yang baharu. Pertumbuhan pokok bermula daripada biji benih yang bercambah membentuk anak pokok (semaian). Dalam fasa awal, tumpuan tenaga tumbuhan adalah pada pertumbuhan primer (menegak). Proses pertumbuhan ini dikawal oleh tisu meristem apeks yang terletak di hujung pucuk, dahan dan akar. Pertumbuhan ini akan menentukan ketinggian pokok serta panjang bagi dahan dan sistem akarnya.

Apabila pokok mula matang, pertumbuhan sekunder pula berlaku, iaitu pembesaran pada diameter batang (termasuklah dahan dan akar, tetapi pertumbuhannya terkawal), sekali gus menambah ukur lilit batang pokok. Kambium vaskular ialah tisu meristem yang penting bagi pertumbuhan sekunder. Tisu ini merupakan lapisan nipis yang terletak di antara tisu kayu dengan kulit kayu. Kambium vaskular berfungsi untuk membahagikan sel ke arah luar dan membentuk floem (saluran pengangkutan hasil fotosintesis) dan ke arah dalam kayu bagi membentuk xilem, iaitu tisu kayu sebenar.

Gelang pertumbuhan yang boleh dilihat dengan jelas pada permukaan kayu.

Lapisan tisu kayu sentiasa dihasilkan, manakala lapisan kulit kayu akan dihasilkan apabila kulit kayu sedia ada tertanggal atau merekah disebabkan oleh pertambahan diameter pokok.            

Bagi kayu dari negara yang mempunyai empat musim, lapisan kayu yang terhasil akan membentuk gelang pertumbuhan (growth rings) yang boleh dilihat dengan jelas apabila batang pokok dipotong. Satu gelang pertumbuhan mewakili satu tahun umur pokok tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila satu gelang pertumbuhan telah lengkap, maka proses pertumbuhan pokok tersebut dalam setahun juga selesai. Keadaan ini seolah-olah sejarah hidup pokok tersimpan pada setiap lingkaran tersebut.

Pembentukan Kayu: Daripada Sel Hidup kepada Struktur Kukuh

Kayu teras (berwarna gelap) dan kayu gubal (berwarna cerah).
Produk meja kopi daripada kayu mahogani.

Kayu ialah tisu xilem sekunder yang terdapat di bahagian dalam pokok dan dilindungi oleh lapisan kulit kayu di bahagian luar. Kulit kayu mempunyai kandungan kimia silika yang berbentuk seperti butiran pasir halus dan berupaya melindungi kayu daripada serangan serangga perosak atau mikroorganisma yang boleh menyebabkan pereputan.

Kayu teras pula merujuk lapisan tisu di bahagian tengah batang. Selnya telah mati dan tidak lagi berfungsi, namun lebih keras, padat dan berat. Warna yang lebih gelap terhasil daripada pemendapan bahan kimia seperti tanin dan resin.

Kayu keras tropika pula terkenal dengan kandungan lignin dan serat yang tinggi, sekali gus menjadikannya lebih tahan lama berbanding dengan kayu lembut. Pembentukan sel serat, liang dan parenkima dalam susunan yang teratur bukan sahaja menguatkan struktur kayu, malah menghasilkan corak semula jadi yang menarik. Ciri ini menyumbang kepada nilai estetika dan komersial kayu hutan.

Faktor yang Mempengaruhi Pertumbuhan dan Kualiti Kayu

Pertumbuhan dan kualiti kayu banyak bergantung pada faktor persekitaran serta genetik. Suhu, kelembapan, ketersediaan air, nutrien tanah dan cahaya matahari memainkan peranan penting dalam menentukan kadar pertumbuhan dan ketumpatan kayu.

Sebagai contoh, pokok yang cepat tumbuh akibat tanah subur dan cuaca lembap berkemungkinan menghasilkan kayu yang kurang padat, manakala pokok yang tumbuh perlahan di kawasan berbatu atau kering menghasilkan kayu yang lebih tumpat dan kuat. Oleh hal yang demikian, pengurusan tapak dan pembajaan memainkan peranan penting bagi mencapai kualiti kayu yang optimum dalam industri perhutanan dan perladangan kayu keras seperti Acacia mangium atau Tectona grandis.

Kepentingan Memahami Proses Pembentukan Kayu dalam Industri

Ladang hutan Acacia mangium menjamin kelestarian sumber bahan kayu.

Pengetahuan tentang pertumbuhan pokok dan pembentukan kayu adalah penting dalam pelbagai bidang, termasuklah pengurusan hutan lestari, teknologi pemprosesan kayu serta kelestarian sumber bahan kayu bagi menampung industri perkayuan negara. Untuk mengurangkan kebergantungan terhadap sumber kayu hutan, hutan ladang telah diwujudkan dengan memfokuskan spesies kayu yang mempunyai pertumbuhan yang cepat seperti kelempayan, sentang, batai, binuang, khaya, Eucalyptus, Paulownia, kayu getah, jati dan akasia.

Dalam konteks Malaysia, usaha untuk menyeimbangkan antara eksploitasi dengan kelestarian sumber kayu memerlukan kefahaman tentang kadar pertumbuhan dan struktur kayu bagi setiap spesies. Sebagai contoh, maklumat tentang ketumpatan kayu dan nisbah antara kayu gubal dan kayu teras membantu industri dalam menentukan kesesuaian spesies untuk produk tertentu, sama ada untuk pembinaan, perabot, papan lapis, komposit kayu atau pulpa dan kertas.

Sepertimana manusia membesar daripada bayi hingga dewasa, pertumbuhan pokok dan pembentukan kayu juga merupakan satu daripada kuasa keagungan-Nya. Daripada biji benih kecil yang memecah tanah ke batang kayu yang menjulang megah, setiap fasa pertumbuhan merupakan hasil interaksi halus antara genetik, persekitaran dengan masa.

Bagi penyelidik, memahami mekanisme ini bukan sekadar soal ilmu, tetapi menjadi kunci dalam membangunkan strategi perhutanan dan pemprosesan kayu yang lebih mampan. Untuk masyarakat umum pula, penghayatan terhadap proses ini dapat meningkatkan kesedaran bahawa setiap batang kayu yang digunakan membawa kisah pertumbuhan dan kehidupan pokok yang tidak ternilai. Oleh sebab itu, tanggungjawab memelihara dan menghargai sumber semula jadi adalah penting agar tidak terus pupus akibat penebangan hutan yang tidak terkawal.

Ts. Junaiza Ahmad Zaki,
Pensyarah Kanan,
Pusat Pengajian Industri Perkayuan,
Universiti Teknologi MARA,
Cawangan Pahang (Kampus Jengka).
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi