Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKepong – “Jadilah agen bahasa yang memartabatkan warisan bangsa dan penjaga alam bagi memastikan bumi terus lestari untuk generasi kini”
Demikian ucapan alu–aluan yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), YBrs. Dr. Norwati Muhammad yang mewakili Ketua Pengarah FRIM, YBrs. Dr. Ismail Parlan sewaktu Majlis Apresiasi Sastera dan Penyampaian Hadiah Sayembara Menulis Anekdot: Membaca dan Alam bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan 2025 Peringkat Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang berlangsung di Auditorium FRIM, Kepong, pagi tadi.
Sayembara ini bukan sekadar wadah menguji keintelektualan pena, malah dapat menyemai hikmah dalam kalangan peserta.
“Tahniah kepada semua peserta yang telah menyalakan obor semangat, menganyam kata menjadi mutiara dan menghidupkan bahasa sebagai jambatan ilmu,” katanya.
Jelas YBrs. Dr. Norwati Muhammad, tema sayembara pada tahun ini bertepatan dengan visi FRIM yang berakarkan perhutanan berpaksikan kajian hutan tropika dan penerbitan ilmu berimpak tinggi.
“Kampus FRIM bukan hanya institut yang hanya berfokuskan penyelidikan perhutanan, malah merupakan sebuah taman ilmu yang penuh dengan rimbun keilmuan. Di sinilah kajian bertunas, penulisan berkembang dan penerbitan berbuah,” tambahnya
Mengulas lanjut, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan sebuah institusi bahasa dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menerusi pelbagai program yang berteraskan bahasa dan sastera termasuk Dekad Membaca Kebangsaan 2025.
Beliau turut menyatakan bahawa FRIM akan terus mendukung kerjasama dan usaha bersama-sama DBP bagi memartabatkan bahasa selaras dengan misi DBP.
“Terdahulu, FRIM dan DBP telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada 10 April 2025 menerusi bidang penerbitan, penyelidikan dan pendokumentasian,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari menzahirkan ucapan penghargaan kepada FRIM atas kesudian menyambut hasrat kerjasama sebagai tuan rumah bagi menjayakan program ini.
“Kerjasama antara FRIM dengan DBP sebelum ini turut diperkukuh melalui MoU dalam bidang penerbitan dan program kebahasaan,” ujarnya.
Beliau juga berkata, tanpa alam, karya seperti yang dihasilkan melalui sayembara ini tidak mungkin terhasil.
“Alam sebagai tunjang ilmu, ilham dan panduan yang penting. Setiap karya penulisan seharusnya mencerminkan penghargaan terhadap alam ibarat guru kita,” tegas YBrs. Dr. Hazami Jahari.

Majlis turut menampilkan sesi bual bicara bersama-sama penerima S.E.A. Write Award termasuk YBrs. Dr. Mohammad Hatta Azad Khan, YBrs. Dr. Shamsudin Othman dan Puan Aminah Mokhtar, serta sesi perkongsian ilmu bersama-sama YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.
Yang turut hadir dalam Majlis Apresiasi Sastera dan Penyampaian Hadiah Sayembara Menulis Anekdot: Membaca dan Alam termasuklah Sasterawan Negara, YBhg. Dato’ Rahman Shaari; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Ketua Editor Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar, serta barisan pegawai DBP.