Diterbitkan pada 18 November 2025, 15:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Songkhla – Sebanyak 10 orang pelajar dari Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) menyertai Program Mobiliti Berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan di Rajamangala University of Technology Srivijaya (RUTS) bagi memperkukuh penguasaan mereka terhadap agenda kelestarian global.

Delegasi PPPJJ diketuai oleh Dekan PPPJJ, USM, YBrs. Profesor Madya Dr. Zulnaidi Yaacob dan diiringi oleh YBrs. Dr. Sah-Hadiyatan Ismail dan Encik Mohd Rashid Abdul Rejab.

Program tersebut dilaksanakan melalui Geran Mobiliti Pejabat Antarabangsa USM yang menekankan kepentingan penerapan elemen kelestarian dan Matlamat Pembangunan Mampan dalam aktiviti pembelajaran pelajar.

Antara delegasi PPPJJ, USM yang menyertai Program Mobiliti Berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan di Rajamangala University of Technology Srivijaya.

Lawatan akademik tersebut membuka ruang kerjasama melalui perkongsian amalan terbaik berkaitan dengan kelestarian, inovasi teknologi hijau dan pembangunan komuniti mampan antara USM dengan RUTS.

Pelajar turut mengikuti sesi taklimat, wacana kepakaran dan tinjauan lapangan yang memberikan pendedahan langsung terhadap pelaksanaan inisiatif Matlamat Pembangunan Mampan di institusi berkenaan.

Peserta program, Encik Muhammad Razin Rosidian menyifatkan bahawa penyertaan itu sebagai pengalaman bermakna yang membuka perspektif baharu mengenai pelaksanaan inisiatif kelestarian oleh universiti antarabangsa.

Program mobiliti ini juga menjadi platform strategik PPPJJ, USM dalam usaha melahirkan graduan yang berfikiran global, profesional dan komited terhadap agenda kelestarian, sejajar dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi