Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Tiga orang penyelidik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis menyertai Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Taman Negeri Perlis yang berlangsung di Hutan Simpan Kurong Batang dan Bukit Besi Hangit dari 10 hingga 14 November 2025.
Ekspedisi yang dirasmikan oleh Exco Negeri Perlis (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Perpaduan serta Alam Sekitar), Yang Berhormat (YB) Puan Wan Badariah Wan Saad itu menghimpunkan pakar biodiversiti daripada agensi kerajaan, institusi akademik dan badan bukan kerajaan bagi melaksanakan inventori flora dan fauna secara sistematik.

UiTM Cawangan Perlis diwakili oleh Puan Aziani Ahmad, Ts. Puan Zamzila Erdawati Zainol dan Gs. Sharir Aizat Kamaruddin dari Fakulti Sains Gunaan serta Stesen Penyelidikan Marin (MARES).
Pelibatan mereka dalam ekspedisi tersebut memberikan tumpuan khusus kepada dokumentasi ikan air tawar tempatan dan penilaian potensi ancaman terhadap ekosistem akuatik di kawasan hutan berkenaan.
Pegawai Perikanan Pejabat Perikanan Negeri Perlis, Encik Mohd Johanis Sabirin Yahaya turut membantu dalam proses pensampelan ikan air tawar di persekitaran akuatik Gua Wang Besar dan Gua Wang Ulu.
Menurut Puan Aziani Ahmad, ekspedisi ini signifikan kerana kawasan hutan simpan tersebut kurang dipengaruhi aktiviti antropogenik, sekali gus membolehkan penilaian biodiversiti dilakukan tanpa gangguan luar.

Ujarnya,
Hasil awal menunjukkan tiada spesies ikan asing direkodkan di kawasan kajian, sekali gus menandakan habitat masih utuh, manakala data lapangan seperti jumlah individu, saiz, habitat dan taburan spesies pula membantu menilai kelimpahan serta status populasi ikan tempatan.
Beliau turut menjelaskan bahawa ekspedisi ini membolehkan pengkaji mengenal pasti spesies endemik serta spesies yang berpotensi baharu.

Setiap spesimen yang dikumpulkan menjadi rujukan penting bagi pengesahan taksonomi dan rekod biodiversiti tempatan.
Dapatan ini juga boleh dibandingkan dengan kawasan rekreasi lain di Perlis seperti Tasik Timah Tasoh dan sungai di sekitarnya bagi menilai perbezaan tahap tekanan antropogenik antara ekosistem.

Mengulas manfaat pelibatan UiTM, Puan Aziani Ahmad menegaskan kepentingan kerjasama penyelidikan dengan agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan termasuklah Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Perhutanan dan institusi penyelidikan lain.
Katanya,
Kerjasama ini membuka peluang kepada projek berimpak tinggi, geran penyelidikan bersama dan pertukaran data saintifik.
Sementara itu, Penyelaras UiTM Green Centre, Ts. Puan Zamzila Erdawati Zainol menekankan bahawa data yang diperoleh menjadi asas penting untuk pengurusan sumber perikanan air tawar secara lestari.
Jelasnya,
Data seperti komposisi spesies, taburan populasi, keadaan habitat dan status kesihatan ekosistem membolehkan pihak berwajib merangka strategi seperti zon larangan tangkapan, program penstokan semula dan pemuliharaan kawasan pembiakan.

Katanya lagi, maklumat saintifik ini menyokong pemuliharaan jangka masa pendek serta perancangan jangka masa panjang demi memastikan sumber perikanan kekal mampan untuk generasi yang seterusnya.



Mengulas cabaran di lapangan pula, beliau menyatakan bahawa cuaca hujan lebat menjadi kekangan utama kerana keadaan tersebut menjejaskan keselamatan pensampelan dan menyukarkan akses ke lokasi terpencil.
Selain cuaca, kekangan peralatan khusus, tempoh masa yang terhad, kesukaran pengecaman spesies serta risiko gangguan hidupan liar turut memerlukan kepakaran dan ketelitian yang tinggi.
Penyertaan dalam ekspedisi seumpama ini bukan sahaja memperkaya ilmu biodiversiti, malah mengukuhkan peranan universiti dalam melestarikan alam sekitar dan sumber asli negara.
