Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAnthoshorea assamica atau lebih dikenali sebagai meranti pipit ialah spesies balak dalam famili Dipterocarpaceae. Pokok ini merupakan spesies hutan tropika yang mempunyai taburan yang terhad di kawasan beriklim panas dan lembap di Asia Tenggara seperti di Malaysia, Indonesia, Thailand, Myanmar serta beberapa negara tropika lain.
Meranti pipit tergolong dalam kumpulan pokok besar yang mampu mencapai ketinggian antara 30 meter hingga 50 meter. Batangnya lurus, tegak dan mempunyai banir besar yang memanjang, manakala daunnya berbentuk bujur atau obovat, berwarna hijau dan tersusun berselang pada dahan. Bunga bagi spesies ini berwarna putih kekuningan serta tumbuh secara berkelompok, namun sukar diperoleh kerana musim berbunga yang jarang-jarang berlaku dan berada pada kedudukan yang tinggi di dahan pokok.

Spesies ini cenderung tumbuh di kawasan hutan yang tidak terlalu padat serta memerlukan cahaya matahari yang banyak. Meranti pipit amat sensitif terhadap perubahan habitat semula jadi dan terancam akibat aktiviti penebangan hutan yang tidak terkawal. Hal ini menjadikan tumbuhan ini antara spesies yang berisiko pupus sekiranya terus dieksploitasi tanpa kawalan.
Kepentingan Ekologi Meranti Pipit
Meranti pipit berperanan penting untuk mengekalkan keseimbangan ekosistem hutan tropika. Pokok ini menjadi habitat dan sumber perlindungan kepada pelbagai spesies flora dan fauna yang bergantung pada hutan hujan untuk kelangsungan hidup. Struktur batangnya yang kukuh membolehkan pokok ini menahan tiupan angin kencang dan hujan lebat, sekali gus membantu mengurangkan risiko kerosakan akibat ribut atau banjir.

Sebagai pokok besar yang tumbuh di hutan tropika meranti pipit turut menyerap karbon dioksida daripada atmosfera, sekali gus membantu mengurangkan kesan perubahan iklim dan menstabilkan suhu global. Peranan ini menjadikan spesies ini antara pilihan utama dalam usaha pemuliharaan hutan tropika. Kajian terhadap pokok ini juga dapat membantu memahami fungsi ekosistem hutan serta strategi kelestarian yang perlu diterapkan untuk melindungi sumber asli.
Meranti pipit mampu tumbuh dalam pelbagai jenis tanah serta tahan terhadap variasi perubahan suhu, kelembapan, dan cuaca. Pokok ini boleh hidup di kawasan terbuka atau separa teduh, asalkan mempunyai sumber air yang mencukupi. Meranti pipit juga berupaya untuk pulih semula selepas gangguan alam seperti banjir, kebakaran dan penebangan serta menghasilkan anak pokok melalui penyebaran biji benih untuk menjamin kesinambungan hidupnya.
Sistem akar meranti pipit yang kuat dan dalam membantu menstabilkan tanah serta mengurangkan hakisan. Akar ini turut berfungsi menyerap lebihan air hujan, seterusnya mengurangkan risiko tanah runtuh terutama di kawasan cerun. Walaupun lebih banyak tumbuh di kawasan kurang tercemar, meranti pipit mempunyai tahap ketahanan yang sederhana terhadap pencemaran udara dan tanah.

Nilai Ekonomi Meranti Pipit
1. Sumber bahan mentah industri perabot
Meranti pipit mempunyai nilai ekonomi tinggi dan menjadi bahan mentah penting dalam industri berasaskan kayu, khususnya pembuatan perabot. Kayu tumbuhan ini terkenal dengan ketahanan, kekuatan dan warna semula jadi yang menarik.

Kelebihan ini menjadikan pokok ini sebagai pilihan utama dalam penghasilan perabot berkualiti tinggi. Industri ini bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, malah menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat luar bandar.
2. Sumber bahan binaan
Ketahanan kayu meranti pipit menjadikan tumbuhan ini sesuai digunakan dalam industri pembinaan dan pembuatan peralatan bukan logam. Kayu pokok ini digunakan untuk menghasilkan bahan binaan seperti tiang, lantai, jambatan, jeti, pintu dan tingkap. Kekuatan dan kemudahan pemprosesan menjadikan kayu ini sebagai bahan bernilai dalam sektor pembinaan dan pertanian.

3. Sumber pendapatan dan pekerjaan
Aktiviti pembalakan dan pemprosesan kayu meranti pipit menyediakan peluang pekerjaan serta sumber pendapatan kepada masyarakat setempat. Apabila diurus secara lestari, hasil kayu ini mampu menjadi sumber ekonomi berterusan tanpa menjejaskan ekosistem hutan. Malaysia turut memperoleh hasil cukai dan yuran eksport yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
4. Sumber ekopelancongan ilmu
Hutan yang kaya dengan meranti pipit berpotensi menjadi tarikan pelancongan bagi pencinta alam dan penyelidik dari dalam serta luar negara. Keunikan biodiversiti ini boleh dikembangkan sebagai produk eko pelancongan ilmu yang melibatkan aktiviti seperti pendakian, pemerhatian burung dan pelancongan pendidikan. Pendapatan daripada sektor ini memberikan manfaat kepada ekonomi tempatan serta meningkatkan kesedaran terhadap pemuliharaan alam sekitar.

5. Potensi dalam perubatan tradisional dan kosmetik
Meranti pipit turut digunakan dalam perubatan tradisional oleh masyarakat orang asli untuk merawat luka dan jangkitan kulit. Ekstrak daun dan kulit tumbuhan ini dipercayai mempunyai sifat antibakteria dan antioksidan yang membantu mempercepat penyembuhan luka serta mengurangkan risiko penyakit kronik.
Potensi ini membuka peluang kepada industri kosmetik berasaskan bahan semula jadi yang semakin mendapat tempat dalam pasaran tempatan dan global. Walau bagaimanapun, kekangan utama ialah kekurangan bekalan bahan mentah. Oleh itu, usaha penanaman semula secara ladang perlu digerakkan bagi menampung keperluan industri yang semakin meningkat.
6. Nilai dalam industri kraftangan
Kayu meranti pipit juga menjadi bahan pilihan dalam pembuatan produk kraftangan dan ukiran tradisional. Sifat tumbuhan ini yang mudah dibentuk dan mempunyai tekstur menarik sesuai untuk menghasilkan barangan berestetika tinggi. Produk kraftangan berasaskan kayu ini juga berpotensi dipasarkan pada peringkat domestik dan antarabangsa, sekali gus menjanakan pendapatan kepada pengusaha tempatan.
Kesimpulannya, meranti pipit merupakan spesies penting dalam ekosistem hutan tropika serta mempunyai nilai ekonomi yang besar kepada negara. Ketahanan, kekuatan dan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran membolehkan spesies ini menjadi sumber semula jadi yang bernilai untuk generasi kini dan akan datang.
Melalui pengurusan hutan yang mampan, meranti pipit juga berpotensi menyumbang kepada ekonomi hijau negara melalui pembalakan terkawal, projek pemuliharaan dan usaha penanaman semula. Bukan sekadar sumber kayu bernilai tinggi, spesies ini memainkan peranan dalam penyerapan karbon, penstabilan tanah serta pemeliharaan biodiversiti hutan hujan tropika.
Walaupun penggunaan meranti pipit dalam bidang perubatan moden masih memerlukan penyelidikan lanjut, hasil awal menunjukkan potensi yang memberangsangkan. Potensi ini bagaimanapun berdepan dengan cabaran apabila spesies tersebut semakin terancam akibat aktiviti penebangan hutan yang berlebihan sehingga menyebabkan kehilangan habitat semula jadi. Bagi memastikan sumber berharga ini terus dipelihara, pelaksanaan dasar pemuliharaan yang berkesan serta penguatkuasaan undang-undang perlu diperkukuh agar kelestarian meranti pipit dapat dijamin untuk generasi akan datang.
Profesor Dr. Noraini Talip dan Muhammad Fitri Hafiz Azhar,
Taman Botani Bangi,
Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia.