Diterbitkan pada 7 November 2025, 11:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bukit Bendera – Lebih 70 pelajar sekolah menengah di Pulau Pinang menyertai Program Pendidikan STEM Perubahan Iklim, inisiatif yang membuka ruang kepada generasi muda untuk memahami isu alam sekitar melalui pengalaman pembelajaran di luar bilik darjah.

Program ini merupakan hasil kerjasama antara Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) dan Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) dengan sokongan geran daripada Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM).

Matlamat utama program ini adalah untuk memperdalam kefahaman pelajar terhadap perubahan iklim melalui pendekatan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta menghubungkan teori dengan realiti persekitaran sebenar.

Menurut Ketua Program, YBrs. Profesor Madya ChM. Dr. Tan Wen Nee, pendidikan yang berpaksikan pengalaman lapangan berupaya menanam kesedaran mendalam terhadap kelestarian bumi.

“Melalui aktiviti eksperimen dan penerokaan di alam sebenar, pelajar bukan sekadar mempelajari teori tetapi berpeluang melihat secara langsung penerapan prinsip sains dalam usaha memahami dan menangani cabaran perubahan iklim,” katanya.

Pelajar menggunakan binokular untuk memerhati spesies tumbuhan di sekitar kawasan kajian.

Beliau menjelaskan bahawa pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman memberikan peluang kepada pelajar untuk menghubungkan konsep sains dengan situasi sebenar di lapangan.

“Program ini turut mendorong pelajar berfikir secara kritikal, menyelesaikan masalah dan berinovasi dalam mencari penyelesaian terhadap cabaran alam sekitar,” tambahnya.

Pendekatan interdisiplin menjadi asas pelaksanaan program apabila lima bahagian akademik di bawah PPPJJ, iaitu Biologi, Kimia, Geografi, Matematik dan Fizik berganding tenaga membangunkan modul pembelajaran interaktif yang menggabungkan pelbagai perspektif sains.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah Sahabat Hutan: Tumbuhan dan Hidupan Liar Menyesuaikan Diri dan Memerangi Perubahan Iklim; Simulasi Hujan Asid dan Kesan Terhadap Alam Sekitar; Memahami Risiko Tanah Runtuh dan Pertahanan Semula Jadi; Ecomath Quest: Menyahkod Demi Masa Depan yang Lebih Lestari; serta Hutan Berkabus.

Aktiviti eksperimen yang meneliti risiko tanah runtuh serta peranan tumbuhan sebagai pertahanan semula jadi mendapat perhatian dan sambutan daripada pelajar.
Sesi pembentangan kumpulan mengenai isu kesan rumah hijau menutup tirai Program Pendidikan STEM Perubahan Iklim.

Sebagai kemuncak program, pelajar membentangkan hasil pembelajaran masing-masing melalui sesi persembahan kumpulan yang mengupas isu seperti kesan rumah hijau, hujan asid, risiko tanah runtuh dan peranan alam semula jadi dalam menstabilkan iklim.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi