Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMalang — Hubungan akademik antara Malaysia dengan Indonesia terus terjalin menerusi Program Mobiliti Akademik anjuran Pusat Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Universitas Brawijaya.

Program yang disertai oleh 10 pelajar USM ini bertujuan untuk mengukuhkan jalinan ilmu serta meningkatkan kefahaman rentas budaya dalam kalangan pelajar kedua-dua institusi.

Antara pengisian utama dalam program tersebut termasuklah kuliah umum yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Lim Chee Ann yang bertajuk “Driving Sustainable Economic Growth in Malaysia and Indonesia: The Role of Resilient Leadership in Digital Transformation and Public Expenditure” .
Beliau menekankan kepentingan kepimpinan berdaya tahan serta transformasi digital sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi mampan di rantau Asia Tenggara.

Selain aktiviti akademik, para peserta turut mengikuti aktiviti komuniti di Kampung Semar, sebuah perkampungan tradisional di Malang yang terkenal dengan keunikan kearifan tempatan.
Pelajar USM menyertai pelbagai aktiviti seperti pembuatan bulu tangkis tradisional, lilin buatan tangan, penghasilan ekoenzim daripada bahan semula jadi serta eco print yang menggunakan daun dan bunga tempatan.

Koordinator program dari Universitas Brawijaya, Ibu Noraini berkata kerjasama ini menyediakan ruang pembelajaran insani yang menggabungkan nilai budaya, kemanusiaan dan tanggungjawab sosial.
“Program ini menjadi pengalaman yang mendidik generasi muda kedua-dua negara untuk saling memahami dan menghargai,” katanya.
Peserta USM, Encik Zameer berkata pengalaman tersebut telah mencetuskan kesedaran yang mendalam tentang maksud sebenar pembangunan mampan.
Ujarnya,
Program ini mengajar kami bahawa pembangunan mampan bukan hanya berkaitan dengan dasar dan angka, tetapi pada tindakan manusia yang menjaga alam dan budaya dengan penuh kesedaran.
