Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Pinang – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) terus memperkukuh kedudukan sebagai peneraju pendidikan digital global menerusi penganjuran International Digital Education Conference 2025 (iDEC 2025).
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang, Yang Berhormat (YB) Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh yang menyatakan bahawa pendidikan berperanan besar dalam membentuk insan berfikiran kritis, berkemahiran tinggi dan berdaya tahan menghadapi perubahan dunia digital.
Beliau berkata Pulau Pinang kini muncul sebagai negeri peneraju pembangunan bakat digital negara hasil kerjasama erat antara kerajaan, industri dengan institusi pendidikan tinggi seperti USM.
“Pulau Pinang memiliki potensi besar untuk mendepani perubahan dan bersaing dalam ekosistem teknologi masa hadapan. Melalui kerjasama antara sektor awam dengan swasta, negeri ini berupaya menjadi pusat kecemerlangan digital serantau,” katanya.
Beliau turut menyatakan komitmen kerajaan negeri dalam menggalakkan kerjasama pendidikan digital, kecerdasan buatan (AI) dan data raya bagi memenuhi keperluan tenaga kerja yang semakin meningkat dalam lebih 500 syarikat multinasional serta 7000 perusahaan kecil dan sederhana di negeri ini.

Pengerusi iDEC 2025, YBrs. Dr. Chua Hang Kuen, berkata penganjuran persidangan ini mengangkat PPPJJ USM ke peringkat antarabangsa melalui konsep pendidikan digital rentas sempadan yang menjadi tumpuan peserta dari pelbagai negara.
Menurut beliau, iDEC 2025 berfungsi sebagai wadah global yang menghimpunkan pendidik, penyelidik dan penggubal dasar untuk meneroka potensi teknologi baharu seperti AI, analitik data besar dan pembelajaran terbuka dalam membina masa hadapan pendidikan sejagat.
Dekan PPPJJ USM, YBrs. Profesor Madya Dr. Zulnaidi Yaacob turut menyampaikan ucapan alu-aluan secara dalam talian dari luar negara atas urusan akademik.
Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan membina rangkaian antarabangsa yang mampu menghubungkan universiti, industri dan komuniti dalam memperluas akses kepada pendidikan yang lebih terbuka dan inklusif.
“Melalui kerjasama global, kita dapat memperkayakan pengalaman pembelajaran dan memastikan setiap individu berpeluang meningkatkan keupayaan diri dalam dunia digital,” katanya.
Dr. Zulnaidi turut menyatakan keyakinan bahawa iDEC 2025 akan menjadi jambatan penting bagi menggalakkan pertukaran pengetahuan dan pengalaman dalam bidang pendidikan digital pada peringkat dunia.
Sementara itu, YBrs. Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat yang mewakili Naib Canselor USM, YBrs. Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata teknologi tidak akan membawa hasil yang bermakna tanpa kebijaksanaan manusia yang menggunakannya untuk tujuan kebaikan bersama.
Beliau menambah bahawa keutamaan sebenar dalam pendidikan digital ialah memastikan kemajuan teknologi dimanfaatkan bagi membina masyarakat berpengetahuan, beretika dan berempati terhadap keperluan sejagat.
Persidangan turut menampilkan barisan penceramah antarabangsa seperti YBrs. Profesor Dr. Abdul Karim Alias (Malaysia), YBrs. Profesor Dr. Joane V. Serrano (Filipina), YBrs. Profesor Lien Yujen (Taiwan), YBrs. Profesor Dr. Carlos Delgado Kloos (Sepanyol) dan YBrs. Dr. Kaviraj Sharma Sukon (Mauritius).
Mereka berkongsi pandangan tentang pendekatan pembelajaran terbuka, keupayaan tenaga pengajar digital serta penggunaan teknologi baharu bagi mendukung Matlamat Pembangunan Mampan yang keempat, iaitu Pendidikan Berkualiti.

Sepanjang dua hari penganjuran, peserta dari pelbagai negara membentangkan kertas kerja secara hibrid yang meneliti pelbagai isu berkaitan dengan pendidikan digital, inovasi teknologi dan pedagogi masa hadapan pascapandemik.
iDEC 2025 turut mewujudkan jaringan baharu melalui penglibatan rakan akademik serantau seperti National Open University (Taiwan), Universitas Terbuka (Indonesia), University of the Philippines Open University (Filipina) dan International Council for Open and Distance Education (ICDE).

Majlis penutupan disempurnakan oleh Setiausaha Agung ICDE dari Norway, Puan Torunn Gjelsvik yang menyatakan penghargaan terhadap inisiatif USM dan PPPJJ dalam memperluas pendidikan terbuka dan jarak jauh pada peringkat antarabangsa.