Diterbitkan pada 3 November 2025, 17:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju penyelidikan dan inovasi apabila Invention, Innovation and Design Exposition (iidex2025) berjaya menghimpunkan hampir 500 penyertaan tempatan dan antarabangsa, sekali gus memperkukuh ekosistem penyelidikan negara berasaskan aspirasi Malaysia MADANI.

Tahun ini, sebanyak 497 penyertaan telah diterima, termasuklah 382 penyertaan fizikal melibatkan penyelidik, pensyarah, pelajar serta rakan industri dari dalam dan luar negara, menjadikan iidex2025 antara pameran inovasi terbesar pada peringkat institusi pendidikan tinggi.

Peluncuran Dasar Penyelidikan dan Inovasi UiTM pada majlis itu turut menjadi sorotan utama apabila dasar berkenaan dijangka memperkukuh tadbir urus penyelidikan, pembangunan bakat serta jaringan kerjasama antara universiti dan industri secara mampan.

Naib Canselor UiTM, YBrs. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, menegaskan bahawa inovasi merupakan budaya hidup yang menjadi nadi kepada daya saing universiti.

Beliau berkata, iidex2025 juga menjadi platform yang menyatukan universiti, industri dan komuniti bagi memacu kemajuan berasaskan pengetahuan, kreativiti dan reka bentuk.

“Dari Idea ke Impak” menggambarkan perjalanan seorang inovator, daripada benih idea kepada ciptaan yang membawa manfaat kepada masyarakat dan industri,” katanya dalam Majlis Penutupan iidex2025 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Shah Alam.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Bank Islam Malaysia Berhad selaku penaja utama serta semua peserta, penilai dan penganjur atas komitmen tinggi untuk menjayakan program berprestij itu.

“UiTM beriltizam menjadi universiti terkemuka dunia yang digerakkan oleh keilmuan dan inovasi berasaskan nilai kemanusiaan, memastikan setiap hasil penyelidikan membawa impak sebenar kepada umat dan negara,” tambah beliau.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UiTM, YBrs. Profesor Ts. Dr. Norazah Abd Rahman berkata penganjuran iidex2025 mencerminkan budaya penyelidikan UiTM yang berteraskan nilai, ilmu dan integriti.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UiTM, YBrs. Profesor Ts. Dr. Norazah Abd Rahman, menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Majlis Perasmian Invention, Innovation and Design Exposition 2025 di DATC, UiTM Shah Alam.

Beliau menjelaskan bahawa setiap penyertaan menggambarkan daya cipta, ketekunan dan komitmen penyelidik UiTM dalam memperkukuh budaya inovasi pada peringkat universiti.

“Setiap hasil penyelidikan bukan sahaja berorientasikan penerbitan atau anugerah, tetapi berperanan menyelesaikan cabaran sebenar masyarakat dan industri melalui reka cipta serta inovasi berimpak tinggi,” katanya.

Antara pengisian utama iidex2025 termasuklah pameran produk inovasi, pertandingan reka cipta mini untuk pelajar sekolah menengah, forum yang bertajuk Advancing Islamic Finance through Innovation and Scholarly Insight, sesi pitching produk inovasi serta jualan buku oleh Penerbit UiTM.

Sebahagian daripada peserta, penyelidik, dan wakil industri bergambar bersama-sama barisan kepimpinan UiTM.

Program ini turut menampilkan khidmat komuniti seperti klinik mata dan pergigian bergerak serta IP Mobile oleh MyIPO yang menarik perhatian pengunjung sepanjang pameran berlangsung.

Majlis penutupan diserikan dengan persembahan Institut Seni Nusantara (INSAN) UiTM bertajuk Legasi Terindah yang berteraskan tema Visit Malaysia 2026 and Multicultural sebagai simbol kepelbagaian budaya negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi