Diterbitkan pada 12 Oktober 2025, 09:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kajang – Selaras dengan aspirasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk memupuk masyarakat yang berilmu dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), UKM dengan kerjasama KDEB Waste Management dan Masjid Sungai Sekamat telah menganjurkan Program Masjid Lestari: UKM Bersama Komuniti, semalam.

Program yang memberikan tumpuan pada pendidikan kelestarian dan amalan hijau pada peringkat komuniti itu dirasmikan oleh Ahli Majlis Profesor FKAB, YBrs. Profesor Ir. Dr. Norhamidi Muhamad bersama-sama Nazir Masjid Sungai Sekamat, Encik Rosli Darus.

Penganjuran program ini telah berjaya menarik penyertaan daripada pelbagai pihak termasuklah ahli kariah, warga UKM dan masyarakat di sekitar Sungai Sekamat dari pelbagai latar belakang yang bersama-sama menjayakan aktiviti berbentuk pendidikan, pendedahan teknologi dan gaya hidup lestari.

Antara pengisian utama program berkenaan termasuklah ceramah penjimatan tenaga dan air oleh pensyarah UKM serta perkongsian tentang amalan kitar semula oleh wakil KDEB Waste Management.

Program tersebut turut menawarkan peluang kepada komuniti untuk menukar barangan kitar semula seperti minyak masak terpakai, e-sisa, botol kaca dan plastik kepada bayaran tunai melalui kaunter jual beli dengan kerjasama Trash4Cash, sekali gus meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kitar semula dan memberikan nilai ekonomi kepada bahan terpakai.

Aktiviti pengumpulan bahan kitar semula oleh komuniti setempat.
Kaunter Trash4Cash semasa beroperasi menerima bahan kitar semula daripada para pengunjung.
Suasana ketika program berlangsung.
Aktiviti pengumpulan bahan kitar semula oleh komuniti setempat.

Program tersebut turut menyediakan pelbagai aktiviti berkaitan dengan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang dikendalikan oleh tenaga pengajar FKAB dan mahasiswa UKM, misalnya aktiviti iG-Home, LESTARi, STEM Racer, Colourful Tower dan aktiviti Profesor ke Desa.

Kesemua aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para peserta, malah memperkenalkan konsep kejuruteraan dan teknologi dalam bentuk yang interaktif dan mudah difahami.

KDEB Waste Management juga memainkan peranan yang penting dalam menjayakan program ini dengan mengadakan sesi perkongsian ilmu mengenai pengurusan sisa dan kepentingan gaya hidup mampan.

Pegawai KDEB Waste Management dari ibu pejabat turut hadir dan memberikan penerangan kepada komuniti tentang peranan mereka dalam memastikan kelestarian bandar.

Wakil KDEB Waste Management ketika menyampaikan ceramah mengenai kelestarian dan kitar semula.

Pihak pengurusan Masjid Sungai Sekamat berkesempatan merakamkan penghargaan kepada UKM dan KDEB Waste Management atas penganjuran program yang memberikan manfaat yang besar kepada seluruh kariah setempat, sekali gus memperkukuh hubungan antara institusi akademik, industri dengan komuniti.

Wakil UKM, KDEB Waste Management dan Trash4Cash di tapak pameran Masjid Lestari.

Penganjuran program ini telah membuktikan bahawa masjid boleh berfungsi sebagai pusat ilmu, inovasi dan amalan lestari yang mendidik masyarakat untuk lebih peka terhadap alam sekitar.

Program seumpama ini juga wajar dijadikan sebagai inisiatif tahunan dalam memperkasakan hubungan universiti dan masyarakat serta menyemai nilai hijau dalam setiap lapisan komuniti.

Melalui gabungan sains, teknologi dan keprihatinan sosial, masjid mampu menjadi simbol perubahan menuju kehidupan yang lebih lestari dan berkat, terutamanya dalam era pemodenan yang memerlukan keseimbangan antara kemajuan dengan kelestarian alam.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi