Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Dunia setiap tahun meraikan Hari Penderma Darah Sedunia bagi menghargai sumbangan penderma darah yang telah membantu menyelamatkan jutaan nyawa di seluruh dunia.
Di Malaysia, kempen kesedaran ini disambut secara meluas di institusi pengajian dan hospital sebagai usaha berterusan meningkatkan kefahaman masyarakat tentang kepentingan menderma darah.
Bersempena sambutan ini, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, YBrs. Dr. Ahmad Suhail Khazali yang juga Koordinator Unit Pengurusan Penyelidikan berkongsi pandangan saintifik mengenai proses derma darah serta manfaatnya terhadap kesihatan manusia dan kesejahteraan masyarakat.

Menurut beliau, proses menderma darah adalah selamat kerana hanya sekitar 400 mililiter hingga 500 mililiter darah diambil setiap sesi, iaitu kira-kira lapan peratus hingga 10 peratus daripada jumlah darah dalam tubuh dewasa.
Beliau menjelaskan bahawa penderma mungkin mengalami sedikit pening atau keletihan sejurus selepas menderma akibat penurunan tekanan darah, namun keadaan tersebut bersifat sementara dan dapat dipulihkan dengan berehat serta mengambil minuman manis.
Dalam tempoh beberapa jam, plasma darah akan digantikan semula oleh tubuh, manakala penghasilan sel darah merah baharu berlaku dalam tempoh empat hingga enam minggu.
YBrs. Dr. Ahmad Suhail Khazali menegaskan bahawa proses penggantian semula ini merupakan tindak balas fisiologi semula jadi tubuh bagi mengekalkan keseimbangan sistem peredaran darah.

Beliau turut menerangkan bahawa darah yang didermakan akan diproses dan diasingkan kepada tiga komponen utama, iaitu sel darah merah, plasma dan platelet bagi memenuhi keperluan perubatan pesakit.
Menurut beliau, sel darah merah diberikan kepada pesakit anemia atau mereka yang kehilangan darah akibat pembedahan, plasma digunakan untuk pesakit yang mengalami masalah pembekuan darah atau melecur, manakala platelet penting bagi pesakit kanser dan penerima pemindahan sumsum tulang.
Tambahnya, setiap penderma berpotensi menyelamatkan sehingga tiga nyawa, lalu menjadikan setiap sumbangan darah sebagai amalan kemanusiaan yang besar maknanya kepada sistem kesihatan negara.
Dari sudut saintifik, darah memainkan peranan penting dalam membawa oksigen dan nutrien ke seluruh tubuh serta menyingkirkan bahan buangan metabolik.
“Darah tidak boleh digantikan dengan bahan sintetik,” jelas beliau sambil menambah bahawa penyelidikan bagi menghasilkan darah tiruan yang diketuai oleh YBrs. Profesor Dr. Hiromi Sakai dari Nara Medical University, Jepun masih pada peringkat awal dan belum mampu menggantikan pendermaan sebenar.
Beliau menegaskan bahawa kekurangan bekalan darah boleh menyebabkan komplikasi serius kepada pesakit dan menggugat keselamatan nyawa.
“Menderma darah ialah keperluan dalam sistem kesihatan awam bagi memastikan hospital mempunyai bekalan mencukupi untuk kes kecemasan, pembedahan, pesakit kronik dan ibu bersalin,” katanya.
Beliau juga menolak tanggapan bahawa pendermaan darah boleh menjejaskan kesihatan penderma kerana kesan seperti lebam kecil atau keletihan hanyalah sementara dan tidak berbahaya.
Antara manfaat utama derma darah termasuklah pengurangan zat besi berlebihan dalam badan yang membantu menurunkan risiko penyakit hati, jantung dan kanser.
Beliau turut menambah bahawa proses ini merangsang penghasilan sel darah baharu serta meningkatkan kesihatan kardiovaskular dengan mengurangkan kelikatan darah, sekali gus menurunkan risiko strok dan serangan jantung.
Pemeriksaan kesihatan yang dijalankan sebelum pendermaan juga membantu mengenal pasti tanda awal masalah seperti tekanan darah tinggi atau kekurangan hemoglobin.
Penderma darah yang kerap turut menikmati keistimewaan tertentu di hospital kerajaan, termasuk kemudahan rawatan dan perkhidmatan wad yang lebih baik bergantung kepada kekerapan pendermaan.
Dalam konteks pendidikan, beliau menjelaskan bahawa universiti memainkan peranan penting memupuk budaya derma darah melalui ceramah, aktiviti kesedaran dan kempen yang dijalankan secara berkala.
Kerjasama antara universiti dengan hospital dapat memudahkan pelajar serta staf kampus menyertai aktiviti ini sambil menanam nilai prihatin terhadap masyarakat.
Beliau berpendapat bahawa penghargaan seperti sijil, pengiktirafan khas atau penganjuran sebagai aktiviti kokurikulum dapat menarik penyertaan pelajar secara sukarela.
YBrs. Dr. Ahmad Suhail Khazali turut menyeru masyarakat khususnya golongan muda agar menjadikan pendermaan darah sebagai gaya hidup sihat dan amalan berterusan.
“Menderma darah turut memberikan peluang hidup kepada orang lain,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa setiap titisan darah membawa harapan baharu dan mencerminkan nilai kasih sayang serta rasa tanggungjawab sosial dalam masyarakat.
Sebagai langkah meningkatkan kesedaran, UiTM Cawangan Perlis turut menganjurkan pertandingan reka bentuk poster kreatif bersempena dengan sambutan Hari Penderma Darah bagi mendidik pelajar tentang mitos dan fakta pendermaan darah.

Pertandingan yang diadakan di Kompleks STAR itu menyaksikan Nur Alya Qistina Mohamad Najib muncul juara, manakala Nurqurratuaina Bukhari dan Nurul Fatehah Elmelya Ismail masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga.
Tempat keempat dimenangi oleh Nur Saidatul Nisa’ Saiful Azlee dan tempat kelima oleh Nur Husna Abdullah.
Pertandingan dinilai oleh panel juri yang diketuai oleh YBrs. Dr. Ahmad Suhail Khazali bersama-sama Puan Huzaifah A. Hamid dari Akademi Pengajian Bahasa, Puan Nor Atikah Husna Ahmad Nasir dari bidang biologi dan Puan Farhana Othman dari bidang kimia, Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Perlis.

Selain itu, Unit Kesihatan, UiTM Cawangan Perlis dengan kerjasama Hospital Tuanku Fauziah, Kangar turut menganjurkan Kempen Derma Darah pada 22 Oktober hingga 23 Oktober 2025 di Unit Kesihatan dan Dewan Cengal bagi memastikan bekalan darah negara sentiasa mencukupi.