Diterbitkan pada 16 Oktober 2025, 17:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –  Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE), Fakulti Sains Kesihatan (FSK) sekali lagi meneruskan komitmennya dalam memperkasakan masyarakat ke arah gaya hidup sihat melalui penganjuran Seminar EMPOWER 2025 yang bertemakan “Strategi Pengurangan Garam”.

Seminar ini diadakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan mengawal pengambilan garam serta memberikan panduan praktikal dalam penyediaan dan pemilihan makanan harian yang lebih sihat.

Poster hebahan mengenai Seminar Empower 2025: Strategi Pengurangan Garam.

Program berimpak tinggi ini menghimpunkan seramai 40 peserta terdiri daripada wakil industri, pensyarah, pelajar dan pegawai kesihatan daripada pelbagai agensi, lalu menjadikannya sebagai platform silang bidang yang mempertemukan pakar, pengamal dan masyarakat.

Antara tokoh akademik yang turut berkongsikan ilmu termasuklah Dekan FSK, UKM, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar, YBrs. Profesor Dr. Zahara Abdul Manaf dan YBrs. Profesor Madya Ts. Dr. Hasnah Haron, pakar ilmu pemakanan dan dietetik di UKM.

Perbincangan ahli panel menumpukan isu kandungan natrium dalam makanan jalanan dan produk terproses serta memberikan panduan membaca label makanan dengan lebih bijak bagi membantu pengguna untuk membuat pilihan yang sihat.

YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar menegaskan kepentingan kerjasama strategik antara penyelidik, industri makanan dengan pihak berkuasa bagi menghasilkan produk rendah garam tanpa menjejaskan rasa dan penerimaan pengguna.

Beliau turut berkongsikan hasil kajian dan strategi reformulasi produk yang berupaya membantu pengeluar tempatan mencapai sasaran maksimum garam nasional seperti disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ujarnya,

Usaha reformulasi ini merupakan langkah konkrit untuk melindungi kesihatan awam bagi membantu mengurangkan risiko tidak berjangkit, selain menjadi platform untuk memperkaya dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat dalam memperkasakan amalan gaya hidup sihat.

Seminar ini turut menampilkan wakil dari KKM, iaitu YBrs. Dr. Hamdan Mohamad dan Puan Viola Michael yang membincangkan topik “Pelan Pengurangan Garam dan Cabaran Pengiraan Natrium”.

Sebagai kelainan, sesi interaktif bengkel pembuatan kimci rendah garam dikendalikan oleh Encik Abdul Hakim Abd Wahid berjaya menarik minat peserta melalui pendekatan pembelajaran praktikal.

Peserta berpeluang mengubah suai resipi tradisional tersebut menjadi hidangan rendah garam sambil mempelajari teknik penyediaan makanan yang sihat serta membawa pulang hasil buatan sendiri.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi