Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAyer Keroh – Usaha untuk memperkukuh kesedaran alam sekitar dan kebersihan di Melaka terus dipertingkat apabila SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) membangunkan satu lagi kemudahan Pusat Pandu Lalu Kitar Semula (PPLK) berkonsepkan hijau dan mesra pengguna di Pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Putat, Batu Berendam.
Pusat terbaharu ini menampilkan pendekatan inovatif apabila rumah sampah lama di kawasan tersebut diubah suai sepenuhnya menjadi pusat pengumpulan bahan kitar semula moden yang dilengkapi sistem pandu lalu bagi memudahkan penduduk menyerahkan barangan kitar semula tanpa perlu keluar daripada kenderaan.
Menurut Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Encik Mohd Norlisam Mohd Nordin, kemudahan ini merupakan PPLK kedua di Melaka di bawah program KITARecycle dan membuktikan komitmen syarikat terhadap kelestarian alam sekitar serta kebersihan komuniti bandar.
“Transformasi rumah sampah kepada Pusat Pandu Lalu KITARecycle ini memberikan ruang kepada penduduk PPR Sungai Putat untuk mengamalkan gaya hidup hijau yang mudah dan praktikal kerana mempunyai akses lebih baik untuk mengurus sisa domestik secara bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata, kemudahan itu juga dijangka memberi manfaat kepada lebih 400 penghuni pangsapuri serta komuniti sekitar sekali gus menyemai amalan kitar semula dan kesedaran kebersihan dalam kehidupan seharian mereka.
Encik Mohd Norlisam menjelaskan, inisiatif ini menjadi contoh bagaimana pengurusan sisa pepejal dapat diintegrasikan dengan pembangunan komuniti lestari.
“SWM Environment sebelum ini turut membangunkan beberapa kemudahan serupa termasuk di Taman Botanikal Melaka, TS Park Taman Desa Bertam, serta dua pusat di i-Asrama Eco Park Ayer Keroh,” tambahnya.

Katanya, kesemua pusat tersebut menyediakan kemudahan “drop-off” bagi memudahkan masyarakat menyerahkan bahan kitar semula tanpa menjejaskan rutin harian mereka.
Menurut beliau, selain bekerjasama dengan SWCorp Melaka, SWM Environment juga menjalinkan kerjasama bersama-sama pemaju perumahan untuk membangunkan lebih banyak pusat hijau komuniti di seluruh negeri.
Langkah ini bukan sahaja menyokong kempen kebersihan awam, malah memperkukuh ekosistem pengurusan sisa pepejal yang lebih terancang dan inklusif.
“Kami menyasarkan untuk menambah bilangan PPLK di seluruh Melaka agar lebih ramai warga negeri ini dapat menghantar bahan kitar semula secara sistematik sekali gus menyokong visi kerajaan negeri untuk menjadikan Melaka sebagai Negeri Lestari, seiring dengan sambutan Tahun Melawat Melaka,” jelasnya.
Sejak pelancaran program KITARecycle pada September 2018 hingga Ogos 2025, sebanyak 664 tan sisa boleh dikitar semula berjaya dikumpul dan diselamatkan daripada dihantar ke tapak pelupusan.
Setakat ini, program berkenaan telah merekodkan seramai 22 089 ahli berdaftar di seluruh Melaka.

Selain pembangunan PPLK, SWM Environment turut menyediakan lebih 53 sangkar kitar semula di lokasi strategik bagi menggalakkan masyarakat meneruskan amalan kitar semula secara konsisten dan berterusan.