Diterbitkan pada 4 Oktober 2025, 10:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) di Perlis terus diperkasakan melalui inisiatif inklusif, iaitu Program Cahaya Harapan dalam bidang pertanian moden yang membuka ruang kepada golongan istimewa untuk berdikari.

Program Cahaya Harapan merupakan inisatif teknologi pertanian moden yang mampu mengurangkan kos elektrik.

Program Cahaya Harapan mengetengahkan kemahiran pertanian hijau serta penggunaan tenaga solar. Usaha ini bukan sahaja mengurangkan kos elektrik, malah membuka peluang menjana pendapatan bagi golongan belia autisme kefungsian rendah.

Inisiatif ini dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan WIBA PRIMA bersama-sama dengan rakan strategik, iaitu Green Experts, Techfarm Xperts, Yayasan Bank Rakyat dan PPDK-AnIPs.

Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Cahaya Harapan: Pemerkasaan Ekonomi Belia Autisme melalui Terapi Hijau yang berlangsung di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Pauh, Jalan Pauh, Kampung Guring, Arau.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengerusi Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Anak Istimewa Perlis (PPDK-AnIPs), YBrs. Dr. Nazmin Abdullah.

YBrs. Dr. Nazmin menyembah maklum kepada Tuanku Raja Muda bahawa inisiatif ini menyediakan peluang kepada golongan OKU untuk menguasai kemahiran moden, khususnya dalam bidang pertanian, sekali gus berpotensi menjadi sumber pendapatan berterusan.

Tambah beliau,

Lebih membanggakan, Perlis muncul sebagai negeri perintis pertama di Malaysia yang melaksanakan pendekatan sebegini. Ini membuktikan bahawa pemerkasaan OKU bukan sekadar tanggungjawab sosial, tetapi merupakan aset penting dalam menjayakan agenda pembangunan negeri dan negara.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian Laman Hijau dan menyaksikan demonstrasi penggunaan tenaga solar dalam proses pertanian.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi