Diterbitkan pada 26 September 2025, 12:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dalam usaha untuk menghimpunkan para penyelidik di seluruh Malaysia yang menjalankan penyelidikan tentang afasia dan kecelaruan komunikasi perolehan yang berkaitan, seminar “Acquired Communication Disorders: Research Updates” anjuran Makmal Afasia@UKM, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya diadakan di Hotel Grand Santa Signature, semalam.

Pengerusi Seminar “Acquired Communication Disorders: Research Updates”, YBrs. Dr. Fatimah Hani ketika menyampaikan kata alu-aluan.

Dalam seminar berkenaan, sebanyak 11 projek telah dibentangkan oleh pensyarah dan pelajar pada peringkat doktor falsafah, sarjana dan sarjana muda dari UKM, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Melaka dan La Trobe University (Australia).

YBrs. Dr. Mohd Azmarul ketika membentangkan hasil penyelidikan yang berkaitan dengan afasia.

Pada akhir siri pembentangan yang dijalankan, dua orang pakar undangan, iaitu YBrs. Profesor Dr. Anthony Kong Pak-Hin dari University of Hong Kong dan YBrs. Profesor Dr. Rogayah A. Razak dari UCSI University terlibat dalam sesi forum untuk memberikan maklum balas tentang perkembangan serta hala tuju penyelidikan afasia di Malaysia.

Menurut YBrs. Profesor Dr. Anthony Kong Pak-Hin, afasia yang berlaku akibat gangguan fungsi otak yang memproses maklumat bahasa sering menyebabkan individu yang mengalaminya sukar untuk berkomunikasi dengan orang lain.

Ujarnya,

Afasia kerap berlaku apabila seseorang itu mengalami kecederaan otak disebabkan oleh strok, trauma atau kanser.

Tambah beliau, mereka yang mengalami afasia sering dipinggirkan kerana kesukaran untuk memahami perbualan, bahan bacaan atau mengeluarkan perkataan dan ayat yang sesuai dalam interaksi.

Katanya lagi,

Pelibatan pelbagai disiplin adalah penting untuk memastikan kualiti kehidupan individu yang menghidap afasia dan ahli keluarga mereka terjamin.

YBrs. Profesor Dr. Anthony Kong Pak-Hin turut menekankan kepentingan kolaborasi pelbagai pihak bagi memastikan hasil penyelidikan dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan kualiti pengendalian pesakit afasia, memperkukuh kemahiran ahli terapi pertuturan–bahasa serta ahli profesional kesihatan dan perubatan lain, memberikan sokongan kepada ahli keluarga pesakit serta memperluas pengetahuan dan penerimaan masyarakat terhadap golongan yang mengalami afasia.

Sesi interaksi antara peserta dengan pakar undangan.

Sementara itu, YBrs. Profesor Dr. Rogayah A. Razak mengajak para peserta untuk mengangkat penyelidikan afasia, bukan sahaja di Malaysia, malah di rantau sekitarnya.

Sepanjang seminar tersebut berlangsung, usaha para penyelidik yang mengkaji tentang afasia dan potensi penyelidikan dalam kalangan para pelajar telah berjaya diketengahkan, sekali gus membuka peluang jaringan hubungan di dalam dan di luar negara.

Turut hadir ialah para peserta dari pelbagai hospital dan pusat rehabilitasi perubatan di seluruh Malaysia.

Antara peserta seminar yang turut serta secara fizikal dan dalam talian.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi