Diterbitkan pada 25 Ogos 2025, 17:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Sindrom Down yang berpunca daripada salinan tambahan kromosom 21 mendatangkan kesan yang besar terhadap perkembangan kognitif, motor dan pendengaran kanak-kanak, sekali gus menuntut intervensi awal serta pendidikan khas bagi menjamin kualiti hidup mereka.

Menyedari akan keperluan tersebut, Kiwanis Down Syndrome Foundation National Centre (KDSF-NC) telah menganjurkan Fiesta Merdeka Charity Food & Funfair sebagai usaha mengumpul dana untuk menyokong program intervensi awal dan pendidikan khas bagi kanak-kanak sindrom Down di Malaysia.

Program tahunan ini berlangsung meriah dengan penyertaan vendor dan sukarelawan, selain menyediakan ruang kepada kanak-kanak sindrom Down menampilkan bakat serta kreativiti mereka melalui persembahan pentas, sekali gus memperlihatkan potensi luar biasa yang dimiliki.

Menurut wakil KDSF-NC, Puan Lee Sook Foong, penganjuran program ini bukan sahaja berkisar pada pengumpulan dana, sebaliknya menjadi wadah penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan intervensi awal dan peluang pembelajaran yang setara bagi kanak-kanak sindrom Down.

“Melalui sokongan padu semua pihak, anak-anak ini berpeluang mengikuti pendidikan khas, rawatan dan latihan yang membantu mereka membesar sebagai individu yang mampu berdikari. Harapan kami agar masyarakat lebih memahami potensi mereka, menyokong perjuangan mereka, dan membuka jalan untuk masa hadapan yang lebih cerah,” ujar Puan Lee Sook Foong.

Bagi menyemarakkan lagi mesej kesedaran itu, Program Audiologi, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut menyertai program berkenaan dengan menampilkan pendekatan kreatif bagi mendidik masyarakat tentang asas sistem pendengaran dan kepentingan penjagaan telinga dalam kehidupan seharian.

Pasukan Program Audiologi UKM yang terdiri daripada pensyarah dan pelajar. Barisan belakang dari kiri: YBrs. Dr. Akmaliza Ali, YBrs. Dr. Chong Foong Yen dan YBrs. Dr. Quar Tian Kar.

Pengisian yang dilaksanakan di reruai UKM mendapat perhatian pengunjung, khususnya melalui aktiviti interaktif seperti permainan tala bunyi (tuning fork) dan bola pingpong yang digunakan untuk menerangkan konsep tenaga bunyi serta risiko kehilangan pendengaran akibat pendedahan berlebihan kepada bunyi kuat.

Pengunjung diberikan peluang untuk mencuba sendiri aktiviti tala bunyi dan bola pingpong untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan pendengaran sejak usia muda.

Bagi mengukuhkan kefahaman, pasukan Audiologi UKM turut membawa model anatomi telinga dengan bahagian boleh tanggal dan boneka kepala otoskopi sebagai bahan bantu visual untuk memperkenalkan struktur asas telinga.

Demonstrasi ini disekalikan dengan pemeriksaan otoskopi kepada pengunjung, sekali gus memberi kefahaman tentang kepentingan pengesanan awal masalah pendengaran.

Pengunjung diberikan penerangan dengan menggunakan boneka kepala otoskopi bagi memahami struktur asas telinga serta kepentingan pemeriksaan awal masalah pendengaran.

Individu yang dikenal pasti memerlukan penilaian lanjut dirujuk kepada pakar audiologi bagi mendapatkan rawatan susulan, lalu menjadikan penyertaan UKM dalam program ini memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

Kerjasama ini memperlihatkan manfaat yang berganda, iaitu menyokong komuniti sindrom Down serta mengeratkan hubungan antara UKM dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memperluas khidmat masyarakat dan meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan kesihatan pendengaran.

Penyertaan UKM dalam Fiesta Merdeka ini seiring dengan tema Hari Kebangsaan 2025, “Malaysia Madani: Rakyat Disantuni” yang menekankan usaha mendekati masyarakat serta menyantuni keperluan kesihatan secara inklusif demi kesejahteraan bersama.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi