Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMelaka – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sekali lagi mencatat kejayaan yang membanggakan apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Universiti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Terbaik Malaysia bagi kategori universiti awam pada tahun 2025.
Anugerah yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Datuk Ts. Mustapha Sakmud dalam Majlis Malaysia Education & TVET Awards 2025 di Kuala Lumpur itu menjadikan kedudukan UTeM sebagai peneraju utama pendidikan teknikal dan vokasional di negara ini serta berjaya menunjukkan model universiti TVET yang unggul, selari dengan hala tuju pendidikan negara.
Pengiktirafan berprestij tersebut dianjurkan oleh Education +TVET Asia Publications yang menilai kecemerlangan institusi pendidikan tinggi dalam menggerakkan agenda TVET di Malaysia serta di rantau ASEAN.
Naib Canselor UTeM, YBhg. Profesor Datuk Dr. Ts. Massila Kamalrudin dalam ucapannya berkata, kejayaan ini merupakan hasil daripada usaha berterusan pihak universiti dalam memperkukuh TVET.
Katanya,
Saya bersyukur kerana UTeM telah menerima pengiktirafan ini untuk dua tahun berturut-turut, sekali gus menjadi bukti komitmen universiti dan warga kampus dalam menjadikan TVET sebagai teras utama pembangunan pendidikan.
Beliau juga menegaskan bahawa pembangunan strategik UTeM melalui Pelan Strategik 2023–2025 memfokuskan agenda pemerkasaan TVET dengan memberikan tumpuan terhadap peningkatan kebolehpasaran graduan dan kesinambungan kerjaya yang lebih luas.
Tambah beliau, pelbagai elemen telah digerakkan secara menyeluruh termasuklah inovasi penyelidikan, pembangunan pelajar, kerjasama industri, hubungan dengan agensi strategik serta pelibatan komuniti bagi membentuk ekosistem TVET yang dinamik.

Hasil daripada pelaksanaan pendekatan itu, UTeM bukan sahaja berjaya menyesuaikan penawaran program pengajian dengan keperluan semasa industri, malah jumlah pengambilan pelajar terus meningkat melepasi sasaran yang ditetapkan pada setiap tahun.
Menurut YBhg. Profesor Datuk Dr. Ts. Massila lagi, kejayaan ini turut mengangkat nama UTeM di persada antarabangsa apabila universiti tersebut terlibat dalam pelbagai kolaborasi dengan institusi pendidikan di rantau ASEAN.
Ujarnya,
Melalui kerjasama ini, perkongsian pengetahuan, penyelidikan bersama serta pemindahan teknologi dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Beliau juga menyatakan bahawa UTeM sentiasa melihat ASEAN sebagai medan penting untuk mengembangkan potensi TVET dan graduan di universiti ini mampu bersaing bukan sahaja dalam pasaran kerja tempatan tetapi juga di pentas global dengan adanya rangkaian kerjasama serantau.
Kejayaan itu mengukuhkan lagi reputasi UTeM sebagai sebuah universiti teknikal berteraskan TVET yang bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan modal insan negara, tetapi juga berperanan sebagai rakan strategik dalam memperkasakan ekosistem pendidikan tinggi di rantau Asia Tenggara.
