Diterbitkan pada 27 Ogos 2025, 17:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Selari dengan keperluan latihan berasaskan kompetensi fungsian, Seminar Penjagaan Geriatrik yang dianjurkan oleh Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memberikan ruang kepada para klinisian meningkatkan ilmu dan kemahiran dalam penjagaan warga emas.

Program yang bertemakan “Compassionate Care for Seniors: A Multidisciplinary Approach” itu dirasmikan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, FSK, UKM, YBrs. Profesor Dr. Zahara Abdul Manaf di Dewan Kuliah 2, Kampus Kuala Lumpur, hari ini.

YBrs. Profesor Dr. Zahara Abdul Manaf ketika menyampaikan ucapan perasmian di Dewan Kuliah 2, Kampus Kuala Lumpur.

Menurut YBrs. Profesor Dr. Zahara Abdul Manaf, Malaysia bakal mencapai status negara tua menjelang tahun 2030 apabila lebih daripada 15 peratus populasi terdiri daripada individu yang berusia 60 tahun ke atas.

Beliau juga menyatakan bahawa statistik banci pada tahun 2020 turut menunjukkan peningkatan ketara bilangan warga emas yang dijangka terus meningkat dalam dekad akan datang.

Ujarnya,

Penjagaan geriatrik menuntut pelibatan pelbagai disiplin termasuklah perubatan, dietetik, terapi pertuturan, fisioterapi, psikologi, radiografi serta penjagaan kesihatan mental dan sosial bagi meningkatkan kualiti hidup warga emas dan membolehkan mereka terus aktif, berdikari dan dihargai dalam komuniti.

Seminar ini telah berjaya menghimpunkan sebanyak 40 orang peserta yang terdiri daripada ahli profesional pelbagai bidang termasuklah ahli geriatrik, pakar dietetik, ahli terapi pertuturan, ahli psikiatri, ahli cara kerja serta pakar kesihatan mental dan pelibatan daripada pihak UKM sendiri serta institusi swasta.

Pengisian utama seminar ini merangkumi pelbagai aspek penting yang berkaitan dengan penjagaan warga emas, termasuklah isu serta masalah umum yang dibentangkan oleh Pakar Perubatan Geriatrik, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, YBrs. Dr. Hazlina Mahadzir dan aspek pemakanan warga emas yang disampaikan oleh Ahli Dietetik, Hospital Kuala Lumpur, Puan Chong Chin Weun.

Sesi perkongsian berkaitan dengan penjagaan warga emas disampaikan oleh YBrs. Dr. Hazlina Mahadzir (kiri) dan Puan Chong Chin Weun (kanan).

Selanjutnya, Pegawai Pemulihan Perubatan Pertuturan, Hospital Kuala Lumpur, Puan Puspa Maniam turut membincangkan isu komunikasi dan penelanan dalam kalangan penghidap demensia, manakala Pensyarah FSK, UKM, YBrs. Dr. Iza Nurzawani Che Isa berkongsi maklumat mengenai cabaran radiografi dalam kalangan warga emas.

Seminar Penjagaan Geriatrik turut menampilkan Puan Puspa Maniam (kiri) dan YBrs. Dr. Iza Nurzawani Che Isa (kanan) sebagai penceramah jemputan bagi berkongsikan kepakaran masing-masing.

Pada masa yang sama, seminar turut menekankan topik berkaitan dengan kesihatan mental dalam kalangan warga emas yang disampaikan oleh Pakar Psikiatri, Hospital Kuala Lumpur, YBrs. Dr. Layuza Aliasad.

Seterusnya, seminar diteruskan dengan perbincangan mengenai rehabilitasi kognitif bagi demensia ringan yang dibentangkan oleh Puan Rohana Mukahar, Ahli Terapi Cara Kerja Kanan merangkap Ketua Jabatan Rehabilitasi, Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

Menerusi seminar ini juga, penekanan terhadap aspek penjagaan penglihatan dalam kalangan warga emas turut dikupas oleh pensyarah dari FSK, UKM, iaitu YBrs. Dr. Normala Mesbah, YBrs. Dr. Wan Syafira Ishak dan YBrs. Dr. Zainora Mohammed.

Sesi perkongsian dan soal jawab melibatkan peserta yang terdiri daripada pakar pelbagai bidang.

Pada penghujung seminar, para peserta menyatakan penghargaan atas penganjuran program ini serta menzahirkan harapan agar usaha seumpama ini dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif dan kerjasama strategik dalam memperkukuh sistem sokongan bagi populasi menua di Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi