Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Pusat Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan (SERC), Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) menyediakan pelbagai kemudahan teknologi berimpak tinggi dengan menggunakan instrumen analisis terkini, sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan penyelidikan bertaraf dunia.
Melihat potensi ini untuk dikembangkan dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan produk penyelidikan dan inovasi bermutu tinggi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis menerusi Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri (PJI) dan Unit Perundingan, Inovasi dan Kepakaran telah menerima kunjungan hormat daripada pihak SERC di Bilik Mesyuarat PJI, UiTM Cawangan Perlis, hari ini.
Delegasi SERC diketuai oleh Koordinator SERC, Puan Hariy Pauzi, manakala delegasi UiTM Cawangan Perlis dipimpin oleh Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri, YBrs. Profesor Madya Dr. Wan Izhan Nawawi Wan Ismail.
Dalam sesi pertemuan itu, Puan Hariy Pauzi berkata, SERC berhasrat untuk menjadi Hab Ujian dan Analisis Mampan sebagai pilihan utama melalui visi dan misi yang menekankan penyediaan perkhidmatan ujian serta analisis berkualiti, berimpak tinggi dan mampan dengan penggunaan peralatan berteknologi terkini serta khidmat rundingan teknikal.

Pada masa yang sama, SERC turut membudayakan ekosistem penyelidikan kondusif dalam kalangan pemegang taruh.
Beliau menjelaskan, antara objektif utama SERC adalah untuk menjadi pusat rujukan utama di zon wilayah utara dalam perkhidmatan ujian dan analisis bahan kepada golongan akademia, pemain industri dan komuniti penyelidikan, di samping memperkukuh hubungan strategik antara pakar akademia dengan pihak industri.
Selain itu, SERC juga komited untuk mengekalkan akreditasi ISO 17025 sebagai standard antarabangsa bagi Makmal Ujian Mekanikal SERC (SMTL) untuk menjamin kebolehpercayaan dan ketepatan ujian dalam usaha memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada pelanggan dan penyelidik.
Pusat ini turut membudayakan aktiviti penyelidikan melalui kemudahan berteknologi tinggi bagi menyokong penyelidikan inovatif dan berimpak tinggi, selain menyediakan latihan teknikal serta kemahiran kompeten berkaitan dengan pelbagai ujian dan analisis.
Tambah beliau, SERC sentiasa memastikan pematuhan kepada amalan makmal dan pengurusan terbaik pada semua peringkat.

Beliau berkata, SERC mempunyai pelbagai perkhidmatan pengkhususan merangkumi bidang lekatan, pengikatan dan salutan, analisis kimia serta pemetaan kimia dan unsur yang dapat membantu para penyelidik memahami sifat asas sesuatu bahan.
Selain itu, SERC turut menawarkan perkhidmatan pencemaran, analisis unsur dan analisis kegagalan yang penting dalam memastikan kualiti, ketepatan serta kebolehpercayaan sesuatu produk.
Beliau juga menyatakan bahawa kemudahan lain yang disediakan termasuklah pencirian bahan atau nanobahan, ujian mekanikal, mikroskopi dan pengimejan analitikal dan analisis terma.

Jelasnya, kesemua perkhidmatan tersebut dilengkapi dengan instrumen berteknologi tinggi, sekali gus menjadikan SERC sebagai pusat rujukan utama untuk akademia, industri dan komuniti penyelidikan.
Katanya,
Di SERC, kami menyediakan pelbagai instrumen berteknologi tinggi bagi menyokong penyelidikan akademia, industri dan komuniti penyelidikan, misalnya Atomic Absorption Spectroscopy (AAS), Fourier Transform Infrared Imaging (FTIR), Inductively Coupled Plasma Mass Spectrometer (ICP-MS), Raman Spectrometer serta instrumen mikroskopi canggih seperti High Resolution Transmission Electron Microscope (HRTEM) dan Field Emission Scanning Electron Microscope (FESEM).
Menurutnya, SERC turut dilengkapi dengan kemudahan Gas Chromatography (GC), Dynamic Contact Angle Tensiometer (DCAT) dan Differential Scanning Calorimeter (DSC) yang membolehkan analisis pelbagai sifat bahan dijalankan dengan lebih tepat dan menyeluruh.
Kesemua instrumen berkenaan memberikan nilai tambah kepada penyelidikan berimpak tinggi dan menjadikan SERC sebagai pusat rujukan utama di rantau ini.
Sementara itu, YBrs. Profesor Madya Dr. Wan Izhan Nawawi Wan Ismail berkata, kehadiran delegasi SERC membuka ruang yang luas kepada para penyelidik di UiTM Cawangan Perlis untuk memperkukuh aktiviti penyelidikan, meningkatkan penerbitan makalah berindeks, merangsang pembangunan produk inovasi berimpak tinggi serta memperluas peluang memperoleh geran penyelidikan baharu dalam bidang sains dan teknologi.

Ujarnya,
Saya melihat SERC dan UiTM Cawangan Perlis berpotensi untuk memeterai memorandum persefahaman dan memorandum perjanjian yang mampu menghasilkan manfaat bersama serta memperkukuh kedudukan kedua-dua pihak.
Beliau turut melihat peluang yang luas untuk merangka pelbagai bentuk kolaborasi dalam bidang penyelidikan dan penerbitan yang boleh diatur secara strategik dan inklusif demi memberikan impak yang lebih besar kepada komuniti akademia, industri serta masyarakat.

Selanjutnya, Koordinator Unit Perundingan, Inovasi dan Kepakaran, Puan Nur Syafiqah Rahim berkata, kunjungan daripada pihak SERC boleh meningkatkan jaringan kolaborasi antara institusi penyelidikan, menyokong pembangunan penyelidikan transdisiplin pada peringkat nasional dan menyediakan platform bersama bagi program inovasi dan pemindahan teknologi kepada industri dan masyarakat.
Kata beliau,
Melalui kunjungan hormat ini, kita berharap agar hubungan strategik antara SERC dengan UiTM Cawangan Perlis dapat terus diperkukuh, sekali gus membuka ruang yang lebih luas untuk pelaksanaan projek penyelidikan bersama, perkongsian kepakaran dan pembangunan inovasi yang memberikan manfaat kepada komuniti akademia, industri serta masyarakat secara keseluruhannya.
Turut hadir dalam sesi perbincangan tersebut ialah Koordinator Unit Pengurusan Penyelidikan, UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Dr. Muhammad Faiz Pa’suya; Koordinator Unit Penerbitan dan Kecemerlangan, UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Dr. Azliana Ramli; Mantan Ketua Pusat Pengajian Pascasiswazah, UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Dr. Rizana Yusof; penyelidik UiTM Cawangan Perlis dan pegawai sains SERC.