Diterbitkan pada 26 Ogos 2025, 17:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perbadanan Kota Buku (PKB) menetapkan sasaran untuk mengedarkan dua juta buku tulis kitar semula menjelang Januari 2026 menerusi pelancaran fasa kedua program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kota Budi ESG bertemakan “Dua Juta Buku Tulis Kitar Semula: Memacu Pendidikan Lestari” yang berlangsung di Hotel Majestic, Kuala Lumpur.

Pengerusi Lembaga Pengarah PKB, YBhg. Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani N Hassan Thani dalam ucapannya menegaskan bahawa projek tersebut merupakan pelaburan sosial yang memberikan kesan langsung kepada keluarga berpendapatan rendah (B40) dan masa hadapan pendidikan negara.

Menurut beliau, sejarah telah tercipta pada tahun lalu apabila sejuta buku tulis kitar semula berjaya diedarkan kepada lebih 100 000 orang murid B40 di 2060 buah sekolah seluruh negara, sekali gus membuktikan bahawa setiap buku yang diterima oleh murid adalah hasil pelaksanaan projek yang penuh dengan disiplin dan tanggungjawab.

Ulas beliau, kejayaan fasa pertama itu tidak mungkin dicapai tanpa kerjasama yang erat antara Kementerian Pendidikan Malaysia, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, rakan pelaksana CP Integrated Sdn. Bhd. serta lebih 20 syarikat penaja yang tampil memberikan dana dan sokongan moral.

Selain menyediakan keperluan asas pembelajaran, projek ini turut meringankan beban kewangan keluarga B40 apabila pada tahun lalu sahaja jumlah penjimatan yang dinikmati oleh ibu bapa penerima mencecah lebih RM857,200, sekali gus memberikan ruang perbelanjaan tambahan untuk keperluan harian lain.

Berdasarkan laporan impak, lebih 1416 batang pokok berjaya diselamatkan, pencemaran air berkurangan sebanyak 65 peratus, pencemaran udara menurun hingga 75 peratus, di samping penjimatan tenaga dan air yang signifikan, sekali gus membuktikan bahawa CSR dalam bentuk pendidikan mampu digabungkan dengan kelestarian alam untuk memberikan kesan yang berganda.

Menurut YBhg. Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani N Hassan Thani lagi, sasaran tersebut menjadi amanah yang harus digalas dengan penuh bertanggungjawab.

Katanya,

Sasaran ini memang besar, namun sejarah membuktikan bahawa kita mampu untuk mencapainya dengan adanya kerjasama daripada pihak kerajaan, syarikat korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan masyarakat awam,” katanya dengan penuh keyakinan sambil menyeru lebih banyak syarikat tampil memberikan sokongan sebagai pelaburan dalam pendidikan dan kelestarian bumi.

Beliau turut menegaskan bahawa Kota Budi ESG adalah bukti bahawa CSR boleh digerakkan secara sistematik, telus dan berstrategi, selain mendidik generasi baharu tentang pentingnya menjaga alam sekitar.

Tegas beliau,

Kota Budi ESG bukan sekadar helaian kertas bercetak, sebaliknya merupakan simbol peluang, harapan dan masa hadapan yang diharapkan mampu menulis sejarah baharu dengan tinta hijau serta menjadikan dua juta buku tulis ini sebagai legasi pendidikan lestari Malaysia yang diiktiraf di persada dunia.

Dengan adanya sokongan yang berterusan daripada sektor awam dan swasta, projek CSR berskala besar seumpama ini diyakini mampu memperkukuh pendidikan negara, mengurangkan beban keluarga berpendapatan rendah serta memelihara bumi untuk manfaat generasi akan datang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi