Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dalam usaha memberikan pendedahan mengenai kaedah terkini dan keberkesanan strategi dalam menangani gangguan pemakanan kanak-kanak daripada perspektif pelbagai disiplin kesihatan, Program Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sekali lagi telah menganjurkan webinar secara dalam talian yang bertajuk “Webinar Dietetic 2025: Feeding Therapy – Paediatrics Feeding Disorder”.
Program tersebut dikendalikan sepenuhnya oleh pegawai dietetik, pensyarah serta kakitangan pelaksana Program Dietetik, FSK, UKM dengan kerjasama Persatuan Dietitian Malaysia.

Ketua Program Dietetik, FSK, UKM, YBrs. Dr. Nor Aini Jamil @ A. Wahab dalam ucapan perasmiannya berkata, ahli profesional kesihatan haruslah memahami pendekatan yang berkesan dalam menilai serta mengurus gangguan pemakanan kanak-kanak, khususnya dalam kalangan pesakit pediatrik dengan gangguan perkembangan saraf.
Beliau turut menekankan keperluan ahli profesional kesihatan untuk mengikuti perkembangan saranan terkini serta menggunakan strategi praktikal demi menyokong kanak-kanak dan keluarga mereka.
Penganjuran webinar tersebut telah menerima sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan sebanyak 117 orang peserta yang terdiri daripada pakar diet di institusi kesihatan awam dan swasta, pelajar dietetik serta ahli profesional kesihatan lain.
Fokus utama webinar berkenaan adalah untuk memberikan pendedahan mengenai kaedah terkini dan keberkesanan strategi dalam menangani gangguan pemakanan kanak-kanak dari perspektif pelbagai disiplin kesihatan.
Dalam sesi perbincangan itu, penekanan diberikan terhadap usaha untuk meningkatkan pengetahuan peserta dalam pendekatan dan pengurusan terapi pemakanan kanak-kanak, di samping merungkai cabaran utama yang dihadapi dalam bidang ini serta menawarkan penyelesaian yang praktikal dan berkesan.
Langkah ini bukan sahaja membantu memastikan para peserta benar-benar memahami topik yang dibincangkan, malah memberikan peluang kepada mereka untuk menilai tahap pengetahuan yang diperoleh sepanjang webinar berlangsung.
Webinar tersebut menampilkan pengisian secara menyeluruh daripada ahli panel yang berpengalaman dalam bidang masing-masing, iaitu Doktor Pakar, Hospital Pakar Kanak-kanak UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Norazlin Kamal Nor; Pensyarah Dietetik, FSK, UKM, YBrs. Dr. Nur Hana Hamzaid; Pegawai Dietetik, Hospital Melaka, YBrs. Dr. Mahnon Suria Mokhy; Jurupulih Perubatan Cara Kerja, Hospital Universiti Sains Malaysia, Encik Muhammad Zulhelmi dan Pegawai Pemulihan Perubatan, Hospital Pakar Kanak-kanak UKM, Puan Ayu Nadhirah Harifin.
Perkongsian yang holistik daripada pelbagai disiplin ini telah memberikan impak yang besar dalam usaha meningkatkan kefahaman serta kemahiran para peserta terhadap pengurusan pesakit pediatrik dengan gangguan pemakanan, sekali gus memperkukuh peranan pakar diet dan ahli profesional kesihatan bagi menyokong kesejahteraan kanak-kanak.
Webinar ini bukan sahaja memberikan tumpuan kepada pengupasan teori dan isu terkini berkaitan dengan gangguan pemakanan, malah menyediakan sesi perbincangan antara dua hala yang melibatkan kajian kes.
Semasa webinar itu berlangsung, para peserta turut berpeluang berdialog secara langsung dengan ahli panel undangan, misalnya YBrs. Dr. Mahnon Suria Mokhy untuk memperdalam pemahaman mereka tentang gangguan pemakanan kanak-kanak melalui kajian kes.

Selanjutnya, YBrs. Dr. Nor Aini Jamil @ A. Wahab ketika mengupas isu dalam webinar berkenaan juga berkata, webinar seumpama ini harus diteruskan pada masa hadapan, selaras dengan kemajuan dalam bidang klinikal dan memperkukuh pengurusan rawatan terapi diet serta meningkatkan kualiti perkhidmatan pegawai dietetik dan penjagaan pesakit.